AM > BERITA

Pengimportan e-waste Diharamkan Sepenuhnya Mulai Hari Ini

04/02/2026 08:21 PM

PUTRAJAYA, 4 Feb (Bernama) -- Pengimportan sisa elektronik (e-waste) diharamkan sepenuhnya berkuat kuasa pada hari ini dan akan diklasifikasikan di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Keputusan itu dicapai Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara, yang dipengerusikan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Tan Sri Azam Baki dalam mesyuarat hari ini.

Azam berkata Jabatan Alam Sekitar (JAS) telah diarahkan untuk segera mengemukakan permohonan kepada Jabatan Kastam Diraja Malaysia bagi meletakkan e-waste di bawah kategori Larangan Mutlak dalam Perintah Kastam berkenaan.

“Keputusan itu memerlukan tindakan penguatkuasaan yang tegas dan bersepadu oleh semua agensi berkaitan. E-waste tidak lagi dibenarkan dan perlu dikuatkuasakan secara tegas membabitkan semua agensi,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, e-waste disenaraikan di bawah kategori "Larangan Bersyarat Kecuali Mengikut Cara Yang Diperuntukkan" dalam Jadual Ketiga, Bahagian 1, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Di bawah kategori itu, Ketua Pengarah JAS masih mempunyai kuasa budi bicara untuk memberikan pengecualian terhadap pengimportan sisa terlarang, tertakluk kepada syarat tertentu.

Menurut kenyataan itu, mesyuarat berkenaan turut memutuskan supaya satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menyelaras dan memperkukuh penguatkuasaan berkaitan e-waste.

Jawatankuasa itu bakal dipengerusikan oleh Komander Kawalan dan Perlindungan Sempadan Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan (AKPS) Pelabuhan Klang Datuk Nik Ezanee Mohd Faisal.

“Hasil mesyuarat jawatankuasa berkenaan perlu dilaporkan kepada Mesyuarat Pasukan Petugas Khas Hala Tuju Pengurusan Penguatkuasaan Pengimportan Sisa Plastik dan E-Waste Dalam Negara, dalam tempoh seminggu bagi memastikan pengurusan e-waste lebih sistematik dan berkesan,” menurut kenyataan itu.

Selain itu, pasukan petugas khas tersebut turut bersetuju bahawa data terperinci diperlukan bagi menilai kebolehlaksanaan moratorium selama tiga bulan terhadap sektor pengimportan sisa plastik sebelum keputusan dimuktamadkan.

Menurut kenyataan itu, Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara serta Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam perlu mengkaji dan membentangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sumbangan sektor tersebut kepada ekonomi dan pendapatan negara, serta keperluan industri.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan