KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan Dana Inovasi Media dengan peruntukan RM30 juta tidak akan menjejaskan kebebasan media dalam melaporkan isu semasa, sebaliknya memperkukuh daya tahan industri media tempatan dalam menghadapi cabaran ekosistem digital, kata Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching.
Beliau berkata dana itu diperkenalkan bagi membantu organisasi media tempatan melakukan transformasi digital susulan perubahan landskap pengiklanan yang kini banyak beralih kepada platform global seperti Google dan Meta, sekali gus menjejaskan pendapatan media tradisional.
Beliau berkata hasrat pelaksanaan dana itu bukan untuk memastikan media sentiasa memuji atau memihak kepada kerajaan, sebaliknya bagi memastikan media tempatan kekal relevan dan mampu bersaing secara sihat dalam era digital.
“Dana ini tidak disertakan dengan syarat yang menjejaskan prinsip kewartawanan… seperti perlu memuji kerajaan sahaja. Saya mengikuti media tempatan dan mereka (pihak media tempatan) sangat kritikal terhadap apa sahaja yang dilaksanakan oleh kerajaan.
“Mereka tidak hanya puji-puji kerajaan semata-mata tetapi juga kritikal (mengkritik),” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.
Teo menjawab soalan tambahan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) yang menyuarakan kebimbangan jika pemohon yang layak menerima Dana Inovasi Media terikat dengan syarat tertentu hingga menjejaskan prinsip kebebasan media.
Mengulas mengenai ketelusan agihan dana, beliau berkata satu jawatankuasa khas ditubuhkan bagi menilai serta memilih permohonan yang layak dan ia dipengerusikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi selain turut dianggotai wakil daripada Jabatan Penerangan Malaysia (JAPEN), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi berkaitan.
Teo berkata hari ini adalah hari pertama sesi pembentangan atau pitching oleh pemohon dana berkenaan, dengan 10 organisasi dijadual membuat pembentangan, manakala 29 lagi akan dipanggil dalam sesi seterusnya.
“Jawatankuasa ini akan buat penilaian dan menentukan sama ada permohonan diluluskan serta jumlah dana yang sesuai untuk diberikan,” katanya.
Beliau berkata Dana Inovasi Media menawarkan pembiayaan sehingga RM300,000 bagi setiap permohonan dan terbuka kepada organisasi media tempatan yang berdaftar secara sah serta memenuhi syarat kelayakan ditetapkan, termasuk berdaftar dengan JAPEN.
Pemberian dana itu, katanya dapat mewujudkan ekosistem media yang lebih sihat dan mampan, selain memastikan organisasi media mampu menyesuaikan diri dengan teknologi terkini tanpa menjejaskan kualiti berita yang dihasilkan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial