AM > BERITA

EPMS Pantau Setiap Sen Dana Usahawan, Pastikan Bantuan Capai Sasaran - KUSKOP

05/02/2026 03:10 PM

KUALA LUMPUR, 5 Feb (Bernama) -- Sistem Pemantauan Program Keusahawanan (EPMS) digunakan sebagai platform digital berpusat bagi memantau setiap sen peruntukan kerajaan yang disalurkan kepada agensi di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Mohamad Alamin berkata sistem yang dibangunkan secara dalaman itu membolehkan kementerian menilai pencapaian dan hasil program serta mengenal pasti jurang capaian bantuan.

“Kita tidak mahu setiap bantuan yang disalurkan itu nanti tidak mencapai sasaran. Kita mahu ia benar-benar memberi impak yang maksimum dan secara langsung meningkatkan pendapatan usahawan.

“Dengan adanya sistem EPMS ini, ia menjadi medium terbaik dalam memastikan setiap program dan inisiatif yang dilaksanakan di bawah KUSKOP mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) serta hasil yang terbaik, sekali gus memacu pertumbuhan ekonomi usahawan dan juga koperasi di negara kita,” katanya.

Beliau menjawab soalan tambahan Datuk Adnan Abu Hassan (BN-Kuala Pilah) mengenai keberkesanan EPMS dalam membangunkan usahawan pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan tambahan Datuk Dr Ahmad Yunus Hairi (PN-Kuala Langat) berhubung usahawan menerima lebih daripada satu pembiayaan, Mohamad berkata kementerian tidak menghalang permohonan daripada pelbagai agensi dan pada masa sama sedang membangunkan satu lagi sistem bagi memantau prestasi usahawan secara lebih dekat dan sistematik.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan Laporan Pelan Tindakan Bersepadu PMKS (SMEIPA) 2025, sebanyak 349 program pembangunan keusahawanan dan perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) dilaksanakan menerusi penglibatan 15 kementerian, 56 agensi serta 13 kerajaan negeri, melibatkan peruntukan keseluruhan berjumlah RM30.34 bilion dan memberi manfaat kepada 613,511 PMKS.

Mohamad menjawab soalan asal Adnan mengenai cadangan memperkenalkan platform satu pintu atau pangkalan data bersepadu bagi menyelaras maklumat penerima bantuan dan program keusahawanan antara agensi bagi mengelakkan pertindihan serta meningkatkan kecekapan penyampaian bantuan.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan