AM > BERITA

Jawatankuasa Khas Selaras Pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam Ditubuh Di Semua Negeri

06/02/2026 12:24 PM

KUALA LUMPUR, 6 Feb (Bernama) -- Semua negeri telah menubuhkan Jawatankuasa Pengurusan Hal Ehwal Bukan Islam bagi menyelaras urusan berkaitan tanah rumah ibadat serta pentadbiran agama selain Islam, selaras dengan bidang kuasa yang terletak di bawah kerajaan negeri.

Menteri Perpaduan Negara Datuk Seri Aaron Ago Dagang berkata semua perkara berkaitan hal ehwal agama dan urusan tanah adalah tertakluk di bawah bidang kuasa kerajaan negeri sebagaimana diperuntukkan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan iaitu Senarai Negeri.

“Kerajaan negeri mempunyai kuasa dalam aspek berkaitan pentadbiran agama, urusan tanah, hak milik, pendaftaran serta pengambilan tanah, selari dengan ketetapan dalam Jadual Kesembilan Perlembagaan Persekutuan, iaitu Senarai Negeri.

“Setakat ini, kesemua kerajaan negeri telah menubuhkan jawatankuasa khas bagi menyelaras perkara tersebut,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Dalam hantaran sama, Aaron turut memuat naik beberapa poster berkaitan jawatankuasa khas tersebut di setiap negeri bagi memberi penjelasan kepada orang ramai. 

Semalam ketika Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, beliau berkata sebarang perkara melibatkan penggunaan tanah dan pengurusan rumah ibadat perlu ditangani mengikut peruntukan undang-undang negeri serta melalui pendekatan rundingan dan integrasi sosial.

Aaron juga pada masa sama turut menegaskan kerajaan sentiasa menjamin hak kebebasan beragama, namun turut bertanggungjawab menegakkan kedaulatan undang-undang termasuk dalam aspek pengurusan tanah dan perancangan pembangunan yang berada di bawah bidang kuasa pihak berkaitan.

Beliau berkata biarpun isu tanah terletak di bawah kuasa kerajaan negeri, Kementerian Perpaduan Negara turut bertindak sebagai pemudah cara bagi memastikan isu agama ditangani secara adil, berhemah dan selaras dengan Perlembagaan Persekutuan serta prinsip Rukun Negara.

-- BERNAMA 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan