GEORGE TOWN, 6 Feb (Bernama) -- Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat (AS) menghantar isyarat kukuh mengenai keyakinan ekonomi jangka panjang selain dijangka terus menggalakkan pelaburan AS, khususnya dalam sektor semikonduktor serta pembuatan di Pulau Pinang.
Duta Besar AS ke Malaysia yang bakal bersara, Edgard D. Kagan berkata syarikat AS telah melabur banyak di Malaysia walaupun tanpa perjanjian perdagangan rasmi, ART seterusnya telah memperkukuh komitmen politik dan ekonomi antara kedua-dua negara.
“Pelabur Amerika sangat teruja dengan ART. Kebanyakan perjanjian perdagangan penting bukan sahaja mengenai butiran mereka, tetapi sebagai isyarat. Ia memberi isyarat bahawa kedua-dua negara melihat manfaat untuk merapatkan ekonomi.
“Jika anda melihat dengan teliti, AS pada asasnya sedang membuka lebih US$6 bilion dalam nilai eksport kepada firma-firma dan rakyat Malaysia, ianya turut memanfaatkan rakyat Malaysia di luar bandar,” katanya semasa perbincangan media di Institut Pulau Pinang di sini hari ini.
Kagan berkata ART juga membuka peluang kepada pengeksport Malaysia, ini juga menguntungkan masyarakat luar bandarnya, sambil menyediakan firma AS akses pasaran yang lebih meluas.
Malaysia dan AS telah menandatangani ART pada 26 Okt 2025 semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur.
Banyak syarikat AS telah beroperasi di Malaysia selama lebih 130 tahun, memberikan sumbangan yang besar terhadap pembangunan ekonomi negara daripada pelaburan awal dalam getah, bijih timah, minyak dan gas kepada pembuatan termaju serta teknologi tinggi.
Beliau menegaskan bahawa kira-kira 312,000 rakyat Malaysia bekerja secara langsung untuk syarikat AS di seluruh negara, dengan ratusan ribu lagi bekerja melalui rantaian bekalan, sambil menambah, salah satu sumbangan yang paling berkekalan ialah pelaburan mereka dalam bakat tempatan.
Kagan memberitahu banyak firma semikonduktor Malaysia diterajui oleh bekas pekerja syarikat AS, menggambarkan Pulau Pinang sebagai inkubator bakat utama untuk industri teknologi global.
Selain semikonduktor, beliau berkata sektor seperti pembuatan peranti perubatan di Pulau Pinang juga mempunyai potensi pertumbuhan yang kukuh di tengah-tengah peningkatan permintaan penjagaan kesihatan dunia.
Kagan ketika mengulas mengenai prestasi perdagangan berkata perdagangan dua hala antara Malaysia dan AS menokok 13 peratus pada tahun lepas, dengan eksport Malaysia ke AS melonjak lebih 14 peratus, walaupun dalam ketidaktentuan ekonomi global.
Memandangkan tempoh perkhidmatan Kagan akan berakhir bulan ini, beliau berharap penggantinya akan terus mengukuhkan hubungan ekonomi, memperluaskan kerjasama keselamatan dan pertukaran rakyat dengan rakyat, termasuk jalinan pendidikan.
Beliau menyifatkan Malaysia khususnya Pulau Pinang sebagai tempat istimewa untuknya dan keluarganya sambil memuji kepelbagaian budaya, warisan dan kemesraan negeri itu.
“Saya boleh katakan ia memberikan pengalaman yang luar biasa, ia bukan hanya sekadar keindahan negeri ini semata-mata, bukan sahaja disebabkan kemeriahan budaya tetapi sebaliknya adalah kemesraan luar biasa rakyat Malaysia,” katanya.
Kagan, yang berkhidmat sebagai Duta Besar AS ke Malaysia sejak Disember 2023, akan menyertai badan pemikir Washington mengenai kajian Asia.
Terdahulu, Kagan melawat Institut Pulau Pinang untuk perbincangan meja bulat mengenai Hubungan Dua Hala Ekonomi AS-Malaysia dan semasa lawatan itu, beliau menyampaikan hadiah kepada Pengarah Eksekutif Institut Pulau Pinang Datuk Dr Ooi Kee Beng, diikuti kunjungan hormat ke atas kepimpinan dan penyelidik di institut tersebut.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial