AM > BERITA

Jenazah Bekas Kapten Terengganu Zulharisam Awang Selamat Dikebumikan

06/02/2026 05:13 PM

KUALA NERUS, 6 Feb (Bernama) -- Jenazah legenda bola sepak Terengganu Zulharisam Awang selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Mok Suri, Pekan Batu Enam, di sini kira-kira 3 petang tadi.

Bekas kapten pasukan Terengganu itu menghembuskan nafas terakhir pada usia 51 tahun pada 6.20 petang semalam di kediamannya di Kampung Wakaf Baharu di sini akibat penyakit dalaman.

Urusan pengebumian Allahyarham dihadiri lebih 300 orang termasuk ahli keluarga dan kenalan yang memberikan penghormatan terakhir. 

Terdahulu, jenazah disolatkan di Masjid Nur Bakti, Gong Badak di sini dengan diimamkan anak sulung Allahyarham, Muhammad Aizat Hairi.

Muhammad Aizat Hairi, 19, semasa ditemui bersyukur urusan pengebumian lancar serta berterima kasih kepada mereka yang hadir dan mendoakan bapanya. 

Pelajar tahun pertama Institut Pendidikan Guru Kampus Pulau Pinang dalam jurusan Sains itu berkata bapanya ada berpesan supaya menjaga ibu dan adik-beradiknya serta memikul tanggungjawab sebagai ketua keluarga dengan baik.

“Ayah banyak menyembunyikan kesakitan kerana tidak mahu orang risau dan hanya berkongsi keadaan sebenar dengan ahli keluarga terdekat.

“Insya-Allah, saya akan terus berusaha menjadi tulang belakang keluarga dan memastikan amanah arwah ayah dipikul sebaiknya,” katanya.

Zulharisam yang bermain di posisi pertahanan pernah membantu Terengganu menjuarai Piala Malaysia buat kali pertama pada 2001 setelah menewaskan Perak 2-1 pada perlawanan akhir di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Zulharisam yang juga Pembantu Khidmat Am (Pembantu Operasi) Pusat Sukan dan Rekreasi Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) meninggalkan isteri Nik Noratiza Abd Aziz, 47 dan tiga anak iaitu Muhammad Aizat Hairi, Nur Airin Farisha, 17, dan Muhammad Aidan Haidi, 12.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan