AM > BERITA

'Si Bani Mini Zoo' Pikat Pengunjung Kenali Lebih 70 Haiwan Pelbagai Spesies

06/02/2026 05:07 PM

GUA MUSANG, 6 Feb (Bernama) -- Siapa sangka bermula dengan memelihara beberapa ekor arnab dan menyewa sebuah khemah kecil, seorang pemuda kini berjaya menjadi pengusaha zoo haiwan jinak atau petting zoo yang dikenali 'Si Bani Mini Zoo', secara bergerak ke seluruh negeri di Semenanjung. 

Muhammad Bani Hashim Masli, 23, berkata ketika ini dia memiliki lebih 70 haiwan eksotik, yang terdiri daripada pelbagai spesies seperti mamalia, reptilia, amfibia serta burung dari dalam dan luar negara, dengan perbelanjaan mencecah RM40,000.

Kesemua haiwan itu turut dipamerkan kepada orang ramai, malah 30 jenis haiwan seperti katak jenis bullfrog, labah-labah tarantula, cicak, rakun dan ular adalah antara binatang jinak dan sesuai untuk disentuh  oleh pengunjung.

"Minat dalam bidang ini bermula sewaktu saya bekerja sebagai penjaga haiwan di zoo di Selangor, ketika berusia 18 tahun,” katanya kepada pemberita di Bandar Baru di sini, baru-baru ini.

Selepas mengumpul pengalaman menguruskan haiwan, Muhammad Bani berkata mula membeli seekor cicak jenis bearded dragon sebelum menambah koleksi haiwan eksotik lain dari negara termasuk China, Amerika Syarikat, Afrika, Australia dan Indonesia, secara berperingkat.

"Pilihan saya ialah haiwan yang mudah dijaga serta tidak memerlukan lesen untuk dipelihara dan dipamerkan kepada orang awam.

“Haiwan-haiwan ini saya beli berpasangan dan setakat ini paling mahal ialah rakun yang mencecah kira-kira RM5,000 seekor, manakala paling murah kira-kira RM250 hingga RM300," katanya.

Antara cabaran terbesar sepanjang mengendalikan zoo ini adalah apabila melibatkan penjagaan yang adakalanya menyebabkan perbelanjaan bulanan meningkat daripada sebelumnya.

"Selain kos bulanan bagi perbelanjaan makanan kira-kira RM600 seperti buah-buahan, pelet dan serangga kecil, saya juga menyediakan peruntukan untuk penjagaan seperti penyediaan vitamin, ubat-ubatan serta rawatan untuk haiwan yang sakit.

"Penjagaan haiwan adalah perkara paling penting kerana sebarang kecuaian boleh mengakibatkan kerugian besar. Kalau haiwan mati, memang pening sebab kos bagi seekor haiwan itu tinggi," katanya yang pernah kematian ular, burung dan tarantula miliknya sebelum ini.

Menyedari hakikat bahawa langit tidak selalu cerah, pemuda yang mesra disapa Bani ini berkata operasi zoo kecilnya pernah diuji ketika tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebelum ini yang memaksanya menghentikan pameran kepada pengunjung, sekali gus mengakibatkan hilang punca pendapatan.

"Saya terpaksa menjual semua haiwan tersebut kerana tidak mampu menanggung perbelanjaan bulanan mereka. Saya mencari pekerjaan yang lain sebagai pemasang penyaman udara sebelum bangkit semula untuk meneruskan perniagaan ini sehingga berjaya membeli kesemua haiwan berkenaan.

"Zoo kecil ini menjadi sumber rezeki saya semula dan saya akan menjelajah tiga hingga empat negeri di Semenanjung setiap bulan untuk membuat pameran haiwan kepada orang ramai dengan harga tiket RM6 seorang, manakala kanak-kanak di bawah usia dua tahun boleh melihatnya secara percuma tanpa had masa," katanya.

Beliau yang turut mempunyai dua pembantu menasihatkan golongan muda untuk tidak mudah berputus asa dalam mengejar minat serta impian yang pada awalnya kelihatan mustahil untuk dicapai.

--BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan