AM > BERITA

Johor Bangun Pusat Pemerolehan, Rawatan Dan Pelupusan Buangan Terjadual Pertama

06/02/2026 07:46 PM

KOTA TINGGI, 6 Feb (Bernama) -- Pusat Pemerolehan, Perawatan dan Pelupusan Buangan Terjadual Negeri Johor (JISWH) yang dibangunkan di sini dengan kos RM310 juta bukan sekadar berfungsi sebagai tapak pelupusan tetapi juga pemangkin bagi keseluruhan ekosistem industri di negeri ini. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Prasarana Rakyat Johor (KPRJ) Datuk Lukman Abu Bakar berkata pembinaan JISWH, yang diterajui Kitar Selatan Sdn Bhd, bermula 15 Dis tahun lepas dan dijangka siap sepenuhnya pada 15 Jun 2027.

Beliau berkata fasa pertama pembangunan di kawasan seluas 18.6 hektar itu akan dilengkapi dengan 10 fasiliti utama termasuk loji rawatan termal berkapasiti 100 tan metrik sehari.

"Selain itu, ia turut dilengkapi dengan loji rawatan fizikal dan kimia, loji solidifikasi serta tapak pelupusan selamat berkapasiti melebihi 3.7 juta meter padu," katanya ketika berucap pada Majlis Pecah Tanah JISWH di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Besar Datuk Onn Hafiz Ghazi serta Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Negeri Johor Ling Tian Soon.

Lukman berkata kemudahan itu berupaya mengendalikan sehingga 76 kod buangan terjadual sekali gus menjadikannya antara fasiliti paling komprehensif di Johor.

Kemudahan moden berteknologi terkini itu dibangunkan mengikut piawaian ketat dan bakal membawa manfaat saling menguntungkan kepada semua pihak berkepentingan sama ada yang terlibat secara langsung mahupun tidak langsung. 

"Seterusnya, fasiliti ini dijangka menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi sirkular di negeri ini, khususnya di kawasan Seelong," katanya.

Beliau berkata projek berkenaan turut menggunakan teknologi daripada Wuhan City Environment Protection Engineering (Malaysia) Sdn Bhd (CCEPC) yang merupakan peneraju dalam sektor pembangunan tenaga dan penjagaan alam sekitar khususnya dalam perawatan sisa serta pemulihan sumber.

"CCEPC bukan sahaja beroperasi di China, malah mempunyai pelanggan di seluruh dunia," katanya.

Sementara itu, Onn Hafiz berkata pembinaan JISWH bukan sahaja dapat mengurangkan pencemaran alam sekitar, malah seiring dengan dengan tumpuan global terhadap Johor yang didorong oleh pembangunan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

"Kebanyakan kilang di Johor difahamkan terpaksa membuang sisa kimia di pusat pelupusan Negeri Sembilan.

"Menerusi pembinaan JISWH, pusat ini akan menjadi (pusat pelupusan buangan terjadual) yang pertama di Johor," katanya.

Beliau berkata selain itu, JISWH bakal menawarkan 150 peluang pekerjaan merangkumi pelbagai peringkat kelayakan dan kemahiran sekali gus meningkatkan taraf hidup komuniti setempat. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan