AM > BERITA

Beca Kota Bharu Berdepan Cabaran Kekal Relevan Dalam Arus Pemodenan

07/02/2026 09:45 AM

KOTA BHARU, 7 Feb (Bernama) -- Beca yang pernah menjadi pengangkutan utama di bandar Kota Bharu kini berhadapan cabaran untuk kekal relevan dalam arus pemodenan meskipun masih mempunyai nilai warisan budaya serta produk pelancongan negeri.

Pengerusi Persatuan Pemandu Pelancong Berlesen Negeri Kelantan (3PK) Wan Saipul Azwal Wan Muhammad berkata ketiadaan kemudahan asas dilihat antara faktor yang menyukarkan pelancong mendapatkan perkhidmatan beca, sekali gus menjejaskan kelangsungan kerjaya penarik beca tradisional.

Wan Saipul Azwal berkata kerajaan negeri perlu menyediakan stesen khas dan papan tanda khusus di sekitar bandar Kota Bharu.

Beliau berkata ketiadaan lokasi menunggu khusus bagi penumpang awam ketika ini menyukarkan pelancong untuk mengenal pasti kewujudan perkhidmatan itu walaupun permintaan masih ada.

“Pelanggan mungkin berminat untuk menggunakan beca bagi tujuan meronda sekitar bandar tetapi tidak tahu di mana hendak mendapatkannya. Tiada nombor khusus atau pusat rujukan untuk dihubungi,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

Wan Saipul Azwal berkata ketika ini beca hanya terdapat di sekitar Pintu Dua Pasar Siti Khadijah dan lebih banyak digunakan untuk mengangkut barangan peniaga berbanding membawa penumpang awam.

Beliau berkata pihaknya telah beberapa kali mengemukakan cadangan kepada pihak berkaitan supaya diwujudkan stesen menunggu beca serta papan tanda khas di lokasi tumpuan pelancong.

“Sekiranya terdapat stesen menunggu, pengayuh beca boleh beroperasi secara lebih tersusun dan sah, selain memudahkan pelancong tempatan serta luar mendapatkan perkhidmatan ini,” katanya.

Wan Saipul Azwal turut mencadangkan agar kerajaan negeri mempertimbangkan kadar tambang dan pakej khas beca sebagai produk pelancongan, seiring dengan amalan di beberapa negeri lain.

Beliau berkata tanpa promosi dan sokongan menyeluruh, perkhidmatan beca berisiko pupus walaupun Kelantan terkenal dengan keunikan beca tradisional yang masih mengekalkan identiti asal tanpa hiasan berlebihan.

“Kami tidak mahu mengubah identiti beca. Kami mahu budaya asal dikekalkan tetapi perlu ada sistem supaya orang boleh menggunakan perkhidmatan ini dan pengayuh beca pula memperoleh pendapatan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengayuh Beca Kota Bharu Che Udi Che Pa, 72, menyokong cadangan pembinaan stesen khas dan menyuarakan kebimbangan terhadap masa depan kerjaya itu yang semakin mengecil.

Che Udi yang sudah lebih 30 tahun mengayuh beca berkata stesen khas itu wajar diwujudkan di sekitar Pasar Siti Khadijah memandangkan jumlah penarik beca berdaftar di kawasan itu kini hanya sekitar 10 orang, berbanding lebih 50 orang suatu ketika dahulu.

“Banyak berhenti kerana faktor usia, kesihatan dan pendapatan yang tidak menentu. Ada juga yang telah meninggal dunia,” katanya, yang menetap di Kampung Sungai Budor di sini.

Beliau berkata kebanyakan pelanggan ketika ini terdiri daripada peniaga pasar yang menggunakan beca untuk mengangkut barangan manakala jumlah pelancong hanya meningkat sedikit ketika musim cuti sekolah.

Menurut Che Udi, tambang bagi satu pusingan sekitar bandar dianggarkan RM20, namun jumlah itu masih tidak menjamin pendapatan harian berikutan kekurangan pelanggan.

Che Udi berkata ketiadaan pelapis muda turut menjadi cabaran utama kerana pekerjaan itu memerlukan tenaga fizikal, selain tidak menjanjikan pulangan yang menarik, dengan hanya seorang penarik beca berusia sekitar 40-an manakala selebihnya berusia antara 50 hingga 60 tahun.

“Walaupun menerima bantuan bulanan sebanyak RM500 serta sokongan pihak pelancongan, ketiadaan stesen khas dan promosi berkesan menyebabkan perkhidmatan beca semakin terpinggir,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan