SUKAN > BERITA

SERI DENGAN KL CITY, JURULATIH TFC PUAS HATI PERSEMBAHAN ANAK BUAH

07/02/2026 09:15 AM

KUALA NERUS, 7 Feb (Bernama) -- Pemangku ketua jurulatih Terengganu FC (TFC) Tengku Hazman Raja Hassan berpuas hati dengan persembahan anak buahnya meskipun sekadar seri 1-1 menentang Kuala Lumpur City FC (KL City FC) pada aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin di sini, malam tadi.

Pengendali kelahiran Kelantan itu berkata pemain telah bekerja keras untuk mencipta sebanyak mungkin peluang bagi memastikan skuad Penyu dapat membawa bekalan selesa apabila bertandang ke Kuala Lumpur bagi perlawanan suku akhir kedua pada 13 Feb ini.

Bagaimanapun, beliau berkata tekanan berdepan pasukan kuat seperti KL City FC menyebabkan pemain terdorong melakukan kesilapan dan kecuaian yang menyebabkan mereka dihukum dengan gol penyamaan lawan pada saat akhir.

"Secara keseluruhan saya berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain. Cuma kekurangan konsentrasi pada saat akhir menyebabkan kita dihukum dengan jaringan penyamaan meskipun mendahului 1-0 hingga di minit ke-83.

"Apabila bermain dengan pasukan besar...kita tengok KL City FC memiliki kekuatan dari segi individu, terutama bahagian tengah. Alhamdulillah kita dapat menyaingi kualiti yang ada, jadi kita tak kalah malam ini (malam tadi)," katanya selepas perlawanan menentang skuad The City Boys malam tadi.

Tengku Hazman berkata beliau sentiasa yakin dengan keupayaan pemain dan berharap kesilapan sama tidak berulang pada perlawanan suku akhir kedua akan datang.

Sementara itu, pengendali KL City FC Risto Vidakovic menyifatkan TFC sebagai lawan paling sukar untuk dijinakkan kerana dibarisi pemain berkualiti di samping semangat juang yang tinggi.

Beliau berkata kehadiran penyerang baharu dari Curacao, Gervane Kastaneer juga dilihat membantu memantapkan lagi jentera serangan skuad Penyu.

“Kita telah bermain dengan sangat baik. Kita berjaya mengawal hampir keseluruhan permainan dan secara keseluruhan saya berpuas hati dengan keputusan perlawanan hari ini. 

“Kita masih mempunyai 90 minit permainan di Kuala Luampur dan perlu memberi tumpuan sepenuhnya kepada pelawanan seterusnya. Saya mengharapkan lebih banyak usaha daripada pemain kerana di Kuala Lumpur nanti bakal menjadi perlawanan yang sangat sukar,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan