AM > BERITA

Kandungan Berbayar Berunsur Perjudian Dan Penipuan, Penyedia Platform Diminta Perketat Saringan

07/02/2026 03:40 PM

KULAI, 7 Feb (Bernama) -- Kandungan berunsur perjudian dan penipuan yang dipromosikan secara berbayar atau sponsored post menimbulkan kebimbangan apabila banyak dikesan secara meluas di platform media sosial.

Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata kebanyakan kandungan diadukan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dikenal pasti berbentuk iklan oleh pihak tertentu yang membayar platform digital bagi memastikan kandungan itu menjangkau lebih ramai pengguna.

Teo berkata walaupun platform terlibat bersetuju menurunkan kandungan itu selepas aduan dibuat, tindakan tersebut lazimnya hanya dilakukan selepas kandungan telah dipaparkan dan menjangkau pengguna.

“Isu utama ketika ini ialah soal saringan awal. Mengapa kandungan seperti ini tidak ditapis dengan lebih berkesan sebelum disiarkan dan dipromosikan sehingga secara tidak langsung membantu aktiviti penipuan dan perjudian dalam talian,” katanya.

Teo berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Next Gen Luxury Coach di Senai hari ini.

Beliau berkata dalam tempoh 15 hari pertama tahun ini, MCMC menurunkan sebanyak 15,519 kandungan berkaitan perjudian dalam talian dan 5,241 kandungan mengandungi unsur penipuan dengan ada daripadanya kandungan berbayar. 

Sehubungan itu, Teo berkata MCMC akan menggunakan peruntukan di bawah Akta Keselamatan Dalam Talian bagi memastikan penyedia platform yang diklasifikasikan sebagai pemegang lesen melaksanakan tanggungjawab dengan lebih berkesan, khususnya dalam proses penilaian dan kelulusan kandungan.

Beliau berkata langkah itu bertujuan memastikan kandungan berbahaya dapat diturunkan dengan lebih pantas selain mengelakkan ia disiarkan dari peringkat awal.

Teo berkata MCMC akan terus bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menangani isu perjudian dan penipuan dalam talian selain menggalakkan orang awam menyalurkan aduan melalui saluran rasmi MCMC.

“Kita mahu memastikan platform turut dipertanggungjawabkan dan tidak membenarkan kandungan yang jelas memudaratkan ini wujud dalam ruang digital mereka,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan