IPOH, 7 Feb (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) menyalurkan bantuan berjumlah RM142,720 kepada 166 nelayan di kawasan Manjung Selatan menerusi dua inisiatif utama bagi meningkatkan pendapatan serta menjaga kebajikan komuniti berkenaan.
Pengerusi LKIM Muhammad Faiz Fadzil berkata sebanyak 52 nelayan menerima bantuan Program Peningkatan Pendapatan Touch Point bernilai RM65,500 dengan peralatan yang disalurkan termasuk dua unit enjin sangkut 15 kuasa kuda dan 34 unit tong insulasi.
Beliau berkata turut diberikan pukat udang sebanyak 43 set, pukat senangin (27), pukat bawal (26), pukat hanyut (20), pukat pelbagai (117) serta bubu ketam (65).
"LKIM turut menyampaikan Skim Bantuan Bencana Alam dan Kebajikan Nelayan berjumlah RM77,220 yang memberi manfaat kepada 114 nelayan melalui Persatuan Nelayan Kawasan (PNK) Matang sebanyak RM24,950, PNK Sungai Tinggi (RM30,900) dan PNK Manjung Utara (RM21,370)," katanya dalam kenyataan hari ini.
Terdahulu Muhammad Faiz menghadiri Majlis Rahmah Mesra MADANI Pengerusi LKIM Bersama Nelayan PNK Manjung Selatan di Manjung, pagi ini.
Pada program itu Muhammad Faiz turut mengumumkan peruntukan segera sebanyak RM50,000 bagi menaik taraf Jeti LKIM Pasir Pandak, Batu 8 Lekir.
Beliau berkata bantuan di bawah Program Peningkatan Pendapatan Touch Point bertujuan meningkatkan kecekapan dan kemahiran nelayan, sekali gus membantu menambah hasil tangkapan serta memperbaiki taraf hidup mereka.
"LKIM juga berharap nelayan lebih proaktif dalam memodenkan teknik penangkapan ikan dengan menguasai teknologi terkini, selaras dengan usaha meningkatkan hasil tangkapan serta memperkukuh daya saing sektor perikanan negara,” katanya.
Dalam program sama, 13 mahasiswa daripada Pusat Pendidikan Profesional dan Lanjutan (PACE), Universiti Utara Malaysia (UUM) Pusat Pembelajaran Kuala Lumpur menyampaikan sumbangan peralatan persekolahan kepada 10 anak nelayan asnaf yang cemerlang.
Penerima terdiri daripada lima pelajar sekolah menengah dan lima pelajar sekolah rendah yang menerima beg sekolah, topi, botol air, alat tulis serta wang tunai RM50 setiap seorang sebagai galakan untuk terus berjaya dalam pelajaran.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial