AM > BERITA

Lebih 4,000 Kes Kanser Direkod Sejak 2022 Di Melaka - Ngwe

07/02/2026 08:10 PM

MELAKA, 7 Feb (Bernama) -- Kes kanser di Melaka menunjukkan peningkatan dalam tempoh tiga tahun  dengan 4,325 kes baharu direkodkan sejak 2022, kata Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem.

Beliau berkata daripada jumlah itu 1,376 kes direkodkan pada 2022, seterusnya meningkat kepada 1,429 kes pada 2023 dan 1,520 kes pada 2024.

Ngwe berkata tiga jenis kanser yang mencatatkan peratusan tertinggi di negeri itu bagi tempoh berkenaan ialah kanser payudara sebanyak 17.2 peratus, kanser kolorektal (16 peratus) dan kanser paru-paru (9.2 peratus).

“Melaka turut mencatatkan kadar berat badan berlebihan dan obesiti yang tinggi iaitu 58.4 peratus, melebihi kadar purata kebangsaan. Negeri ini juga kedua tertinggi merekodkan pesakit diabetes iaitu 20.5 peratus, dengan 43,791 pesakit diabetes aktif masih mendapatkan rawatan pada akhir 2025," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Karnival Kesihatan MADANI: Jom Sihat 2026 yang disempurnakan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam dan turut dihadiri Pengarah Kesihatan negeri Dr Ruzita Mustaffa.

Ngwe berkata penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti obesiti dan diabetes tersebut antara penyumbang utama kepada peningkatan risiko pelbagai jenis kanser.

Beliau berkata data itu seharusnya menjadi peringatan jepada rakyat Melaka bahawa isu kesihatan mesti diberi perhatian serius, bukan sahaja dari aspek rawatan tetapi juga melalui pencegahan, pembudayaan gaya hidup sihat serta sokongan kesihatan mental yang berterusan.

Sehubungan itu, beliau berkata antara usaha dilaksanakan kerajaan negeri menerusi Jabatan Kesihatan ialah Karnival Kesihatan MADANI: Jom Sihat 2026 yang selari dengan slogan kerajaan negeri “Melaka Sayang Rakyat”, bagi memperkukuh usaha pencegahan, kesedaran dan memastikan akses perkhidmatan kesihatan terus sampai kepada komuniti.

Dalam perkembangan lain, Ngwe berkata kerajaan negeri memperuntukkan RM4.4 juta di bawah Skim Melaka Sayang Rakyat (MeSRa) Kesihatan Awam bagi melaksanakan pelbagai inisiatif kesihatan antaranya Program MBIO Sihat, yang menawarkan saringan kesihatan percuma bagi pengesanan awal tiga jenis kanser utama dan penyakit tidak berjangkit.

“Selain itu, program MeSRa Ambulans yang menyediakan perkhidmatan khas secara door-to-door bagi membantu pesakit terlantar, khususnya dalam kalangan keluarga B40, Program Jom Sihat dan K-Mindset Melaka Style, Tabung Bantuan Dialisis Negeri Melaka serta Inisiatif Satu PBT Satu Ambulans yang akan dilancarkan pada April depan,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan