AM > BERITA

MBMB Lancar Sistem Butang Cemas Di Lokasi Tumpuan Pelancong

08/02/2026 09:39 AM

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) melancarkan Sistem Butang Cemas (Panic Button) di empat lokasi tumpuan pelancong sebagai langkah memperkukuh aspek keselamatan dan mempercepat bantuan kecemasan di kawasan pelancongan utama negeri itu.

Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata sistem yang pertama seumpamanya diperkenalkan di Malaysia itu diintegrasikan dengan pihak berkaitan seperti polis, Jabatan Kesihatan, bomba, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan Paramedik Komuniti. 

Beliau berkata lokasi itu ialah perkarangan Menara Taming Sari, Taman Warisan Jonker Walk, hadapan Bastion House, Banda Hilir dan kawasan Stadthuys.

“Sistem ini membolehkan bantuan kecemasan perubatan atau keselamatan disalurkan dengan lebih pantas dan berkesan, khususnya ketika waktu kemuncak serta pelaksanaan Zon Bebas Kenderaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Melaka Bila Larut Malam Edisi Februari 2026 di Perkarangan Stadthuys, Banda Hilir di sini malam tadi. 

Hadir sama ialah Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka Datuk Ibrahim Durum; Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Budaya negeri Datuk Abdul Razak Abdul Rahman; Exco Kesihatan, Sumber Manusia dan Perpaduan negeri Datuk Ngwe Hee Sem dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Selain itu, beliau berkata kerajaan negeri komited menjadikan Melaka Bila Larut Malam sebagai acara pelancongan bulanan yang inklusif dan beridentiti sekali gus terus merancakkan sektor pelancongan sempena Tahun Melawat Melaka 2.0.

Program Melaka Bila Larut Malam menjadi antara nadi ekonomi rakyat dengan memberi limpahan manfaat kepada peniaga kecil, penggiat seni dan pemain industri pelancongan selain menghidupkan suasana malam di bandar bersejarah itu.

Edisi kali ini turut menampilkan konsep sambutan Tahun Baharu Cina sebagai simbol perpaduan dan penghormatan kepada masyarakat Tionghua menjelang perayaan tersebut pada 17 Feb.

Dalam majlis sama, Ab Rauf turut menyampaikan hadiah utama Cabutan Bertuah Melaka River Cruise 2025 iaitu kereta Proton Saga kepada penuntut Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM) Amir Hamzah, 24 dari Perak yang diumumkan sebagai pemenang.  

Ab Rauf berkata program itu diteruskan tahun ini dengan jumlah hadiah keseluruhan RM100,000 dengan cabutan diadakan setiap tiga bulan manakala hadiah utama iaitu sebuah kereta Perodua Bezza akan disampaikan pada Disember 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan