AM > BERITA

101 Aktiviti Menarik Sempena Karnival Demi Paya Rumput

08/02/2026 09:59 PM

MELAKA, 8 Feb (Bernama) -- Sebanyak 101 aktiviti untuk masyarakat pelbagai kaum dan peringkat umur akan dilaksanakan sepanjang Karnival Demi Paya Rumput yang berlangsung selama lapan hari bermula hari ini, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Paya Rumput Datuk Rais Yasin.

Beliau berkata karnival berkenaan bukan sekadar program hiburan dan rekreasi tetapi lebih penting sebagai platform menyantuni rakyat selaras dengan hasrat untuk memastikan kesejahteraan masyarakat di Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput.

"Pelbagai aktiviti antaranya permainan tradisional dan program komuniti termasuk gotong-royong yang akan diselaraskan oleh agensi dan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) dalam DUN Paya Rumput.

"Kalau ikutkan Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR) DUN Paya Rumput akan dilaksanakan September akan datang tetapi masih lama lagi dan kita inginkan suasana program WRUR melibatkan hubungan baik antara pemimpin dan rakyat," katanya di Taman Rambai Jaya di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Karnival Demi Paya Rumput dan Program Gotong-Royong Mega Perangi Aedes Bil 1/2026 Peringkat Melaka, disempurnakan Exco Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital negeri Datuk Fairul Nizam Roslan yang mewakili Ketua Menteri Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Rais berkata terdapat lebih 40 taman perumahan kos sederhana dan kos rendah seperti di sekitar Paya Rumput, Krubong, Cheng dan Tanjung Minyak selain 11 kampung warisan dengan jumlah penduduk sekitar 91,000 orang dan 45,000 orang daripadanya merupakan pengundi berdaftar di DUN Paya Rumput.

Beliau berkata Karnival Demi Paya Rumput juga sebagai tanda penghargaan atas sokongan, kebersamaan dan semangat perpaduan yang sentiasa ditunjukkan.

Katanya kemuncak program berkenaan akan disempurnakan oleh Ab Rauf di Stadium Hang Jebat di sini pada 14 Feb ini.

Inisiatif lain yang akan dilaksanakan ialah Pelancaran Tabung Pendidikan Anak Paya Rumput selain Konsert Amal Hitam Manis oleh artis Datuk Hattan, Black Hanifah dan Hazama.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan