AM > BERITA

SARA Untuk Semua Dikreditkan Hari Ini, Kategori Sejuk Beku Ditambah - MoF

09/02/2026 10:15 AM

PUTRAJAYA, 9 Feb (Bernama) -- Sumbangan Asas Rahmah (SARA) Untuk Semua mula disalurkan hari ini membabitkan peruntukan RM2.2 bilion dan memberikan manfaat kepada lebih 22 juta pemegang MyKad warganegara Malaysia dewasa, menurut Kementerian Kewangan (MoF).

Menerusi satu kenyataan, kementerian itu memaklumkan penerima akan mendapat RM100 secara sekali beri (one-off) yang boleh digunakan hingga 31 Dis 2026.

“SARA Untuk Semua membolehkan isi rumah menerima bantuan berganda bergantung pada jumlah ahli dewasa yang layak.

“Sebagai contoh, keluarga dengan suami, isteri dan dua anak berumur 18 tahun ke atas akan menerima keseluruhan RM400, tidak termasuk bantuan SARA Bulanan sekiranya berkelayakan,” menurut kenyataan itu.

MoF memaklumkan berdasarkan maklum balas rakyat, kerajaan turut menambah baik kemudahan pembelian dengan meluaskan kategori barangan kepada makanan sejuk beku, menjadikan 15 kategori keseluruhannya.

Langkah itu juga meningkatkan jumlah barangan yang layak dibeli kepada 140,000 jenis barangan.

Selaras dengan Perutusan Tahun Baharu 2026 oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, kerajaan menyasarkan 10,000 kedai runcit kecil sebagai Rakan Niaga SARA menjelang hujung tahun, manakala jarak kedai runcit terdekat dikurangkan daripada 10 kilometer kepada 7 kilometer.

Orang ramai boleh menyemak status pengkreditan serta soalan lazim (FAQ) melalui portal rasmi https://sara.gov.my.

MoF turut mengingatkan penerima supaya berwaspada dengan pautan palsu dan cubaan penipuan, serta kementerian tidak pernah meminta maklumat peribadi melalui SMS atau WhatsApp, dan sebarang maklumat terkini hanya boleh dirujuk menerusi portal rasmi STR.

-- BERNAMA


 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan