AM > BERITA

Hasil R&D Tidak Terhenti Di Makmal, Dimanfaatkan Kepada Rakyat - Chang

09/02/2026 01:20 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Hasil penyelidikan dan pembangunan (R&D) negara tidak hanya terhenti di makmal, sebaliknya diterjemahkan kepada penyelesaian praktikal yang memberikan manfaat langsung kepada rakyat, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang.

Beliau berkata tumpuan diberikan kepada komuniti luar bandar menerusi pemerkasaan bidang pertanian pintar pengurusan air serta adaptasi terhadap perubahan iklim.

Chang berkata antara inisiatif utama yang dilaksanakan ialah Sistem Maklumat Geospatial Tanaman Padi (MakGeoPadi) oleh Agensi Angkasa Malaysia (MYSA) yang kini digunakan di 12 jelapang padi utama meliputi kawasan seluas 206,000 hektar.

"Penggunaan imej satelit beresolusi tinggi membolehkan pengesanan kawasan sebenar penanaman padi dilaksanakan secara tepat, sekali gus mempercepat dan menjimatkan proses pengagihan subsidi padi kerajaan secara bersasar kepada pesawah yang layak.

"Selain itu, modul profil tanah dalam sistem ini turut membantu agensi pertanian membuat penilaian awal kondisi tanah sawah dan merancang tindakan pembaikan yang bersesuaian," katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Datuk Muhammad Bakhtiar Wan Chik (PH-Balik Pulau) berhubung strategi kementerian bagi memastikan inovasi negara sampai ke peringkat komuniti luar bandar dan perusahaan kecil.

Selain itu, Chang berkata Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) melalui MYSA dan Jabatan Mineral dan Geosains Malaysia mengoptimumkan teknologi penderiaan jauh (remote sensing) untuk mengenal pasti sumber air bawah tanah.

Beliau berkata inisiatif yang bermula di Lembangan Sungai Muar itu kini memberikan manfaat kepada kira-kira 10,000 penduduk di 11 kampung yang berdepan dengan isu kekurangan bekalan termasuk di Johor dan Kelantan.

Chang berkata pembangunan Pusat Gerakan Bencana Banjir Terapung (FLOODCOM) pula digunakan di kawasan berisiko banjir di bawah inisiatif Kampung Angkat MADANI.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan