AM > BERITA

Berita-berita Ringkas Dewan Rakyat: 9 Feb

09/02/2026 02:41 PM

 

KERAJAAN KEKAL LINDUNGI HUTAN SIMPAN, TIDAK KOMPROMI KELULUSAN MELOMBONG

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES) tidak memberikan sebarang kelulusan Surat Kebenaran Skim Pengendalian Melombong bagi aktiviti perlombongan di kawasan pemeliharaan termasuk Hutan Simpan Kekal (HSK).

Timbalan Menteri berkenaan Syed Ibrahim Syed Noh berkata dasar sedia ada itu turut merangkumi larangan aktiviti perlombongan di kawasan rizab perlindungan, kawasan tadahan air dan kawasan sensitif alam sekitar.

“Dasar ini bertujuan memastikan industri perlombongan tidak dilihat sebagai industri yang mengancam kelestarian alam dan tidak selari dengan prinsip pembangunan bertanggungjawab dan mampan,” katanya pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Manndzri Nasib (BN-Tenggara) tentang kesediaan kerajaan untuk meminda peraturan berkaitan penggunaan tanah di HSK bagi membolehkan aktiviti perlombongan secara terkawal dan lestari dijalankan, sekali gus mengelakkan perlombongan haram yang memudaratkan alam sekitar.

-- BERNAMA

 

LPQB TUBUH PASUKAN KHAS KAJI KURIKULUM LALUAN KERANI BERARTIKEL

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Lembaga Kelayakan Profesion Undang-Undang (LPQB) bersetuju menubuhkan pasukan khas (Taskforce) pada 15 Dis tahun lepas untuk mengkaji penambahbaikan serta pembangunan kurikulum bagi laluan kerani berartikel di negara ini.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) M. Kulasegaran berkata pasukan khas itu akan dianggotai oleh pakar daripada Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) dan swasta (IPTS) serta wakil daripada Majlis Peguam.

"Pada masa ini, satu kertas cadangan sedang disediakan bagi maksud penubuhan pasukan ini dengan mengambil kira terma rujukan serta kos terlibat dan akan dibentangkan pada mesyuarat LPQB bulan ini,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan S. Kesavan (PH-Sungai Siput) berhubung tarikh LPQB akan menjalankan fungsinya untuk membuka permohonan bagi menjalani latihan kerani berartikel, termasuk garis masa pelaksanaannya.

-- BERNAMA

 

"MATCH OF HOPE" SASAR RM100,000 BANTU IBU DAN BAYI DI GAZA

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kaukus Palestin Parlimen Malaysia hari ini melancarkan inisiatif kemanusiaan "Match of Hope: Solidariti untuk Ibu dan Anak di Gaza" bagi mengumpul dana RM100,000 bertujuan membantu golongan terjejas akibat konflik berpanjangan di Gaza.

Ketua kaukus itu, yang juga Timbalan Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Syed Ibrahim Syed Noh berkata program berkenaan bertujuan membekalkan keperluan asas buat ibu dan bayi yang berdepan dengan kesukaran hidup.

"Di sebalik setiap sumbangan yang disalurkan, terdapat impak yang jauh lebih besar daripada nilai kewangan semata-mata, iaitu mengembalikan maruah, keselamatan dan harapan kepada ibu-ibu yang melahirkan anak dalam keadaan serba kekurangan," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata inisiatif tersebut turut dizahirkan menerusi perlawanan bola sepak persahabatan melibatkan Ahli Parlimen merentas parti, bekas pemain kebangsaan serta rakan strategik, yang dijadualkan berlangsung di Stadium Merdeka bermula pada 8 malam, 12 Feb ini.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan