AM > BERITA

RUU Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 Dibentang Hari Ini

09/02/2026 06:15 PM

KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Rang Undang-Undang (RUU) Rapid Transit System Link Johor Bahru-Singapura 2026 dibentangkan untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat hari ini.

RUU itu dibentangkan Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah yang turut memaklumkan bacaan kali kedua dan ketiga RUU itu akan dibuat pada persidangan Dewan Rakyat kali ini.

RUU itu bertujuan menguatkuasakan kewajipan Kerajaan Malaysia di bawah perjanjian dengan Kerajaan Singapura berhubung pelaksanaan fungsi pelepasan kastam, imigresen dan kuarantin (CIQ) serta fungsi keselamatan secara bersama.

Berdasarkan naskhah biru RUU berkenaan, ia akan terpakai bagi tempoh perjanjian itu berkuat kuasa di kawasan ditetapkan iaitu Stesen Bukit Chagar di Johor Bahru dan Stesen Woodlands North di Singapura.

Menurut naskhah itu, pelaksanaan tugas rasmi di stesen berkenaan akan melibatkan pegawai penguat kuasa dari kedua-dua negara.

Fasal 11(1) memperuntukkan pegawai penguat kuasa Singapura di Stesen Bukit Chagar mempunyai kuasa untuk menghendaki dokumen perjalanan, menjalankan pemeriksaan badan dengan persetujuan, serta menangkap atau menahan mana-mana orang yang disyaki melakukan kesalahan di bawah undang-undang Singapura berhubung fungsi CIQ dan keselamatan.

“Bagi maksud melaksanakan tugas rasmi di kawasan ditetapkan di Stesen Woodlands North, seseorang pegawai penguat kuasa Malaysia hendaklah mempunyai kuasa yang sama yang diberikan kepada pegawai penguat kuasa Republik Singapura di bawah seksyen ini," menurut naskhah biru itu.

RUU itu turut memperuntukkan mengenai pengurusan insiden rentas sempadan yang merangkumi insiden kebakaran, penyelamatan, kecemasan perubatan atau keselamatan awam.

Fasal 14(1) menetapkan tanggungjawab pengurusan insiden di dalam kereta api semasa transit adalah berdasarkan wilayah di mana perjalanan kereta api itu disempurnakan.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan