KUALA LUMPUR, 9 Feb (Bernama) -- Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan memulakan proses pindaan Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA) selepas menerima kelulusan secara dasar daripada Jemaah Menteri pada Jumaat lepas.
Menteri berkenaan Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata pindaan itu antara lain mencadangkan pengenalan sistem pengkelasan berdasarkan tahap keseriusan kesalahan bagi menentukan kelayakan ikat jamin.
Beliau berkata bagi kesalahan yang membawa hukuman penjara antara 20 hingga 30 tahun tidak dicadangkan dibenarkan ikat jamin, namun bagi kesalahan lebih ringan, budi bicara akan diberikan kepada mahkamah atau atas cadangan Timbalan Pendakwa Raya.
"KDN akan melakukan sesi libat urus, kajian dan perbincangan dengan harapan pindaan itu boleh dibawa ke Dewan ini pada persidangan Julai atau Ogos nanti," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi KDN di Dewan Rakyat, hari ini.
Menjawab pertanyaan Ramkarpal Singh (PH-Bukit Gelugor) sama ada kerajaan akan melaksanakan moratorium ketika proses pindaan akta berkenaan, Saifuddin Nasution berkata perkara itu tidak dibincangkan.
Mengenai isu kewarganegaraan, beliau berkata sejak Disember 2022, KDN berjaya menyelesaikan 52,444 kes permohonan kewarganegaraan, sekali gus mengurangkan baki kes tertunggak kepada 3,738 kes setakat 31 Dis tahun lepas.
"KDN mengikat diri dengan komitmen selama setahun untuk memaklumkan keputusan permohonan, berbanding sebelum ini yang mengambil masa lima hingga 33 tahun," katanya.
Dalam perkembangan lain, Saifuddin Nasution berkata polis sedang menunggu laporan teknikal termasuk laporan patologi, balistik dan sisa tembakan berhubung kes tembak mati tiga lelaki di Durian Tunggal, Melaka sebelum kertas siasatan dirujuk semula ke Pejabat Peguam Negara untuk arahan lanjut.
Pada 24 Nov tahun lepas, tiga lelaki berumur 24 hingga 29 tahun ditembak mati selepas seorang daripada mereka didakwa melibas parang dan mencederakan seorang anggota polis di sebuah ladang kelapa sawit di Durian Tunggal.
Bagaimanapun, ahli keluarga tiga suspek berkenaan menolak dakwaan tersebut dan susulan itu, polis menubuhkan satu pasukan khas bagi menyiasat kes berkenaan.
Jabatan Peguam Negara kemudian mengarahkan kes itu diklasifikasikan semula sebagai kes bunuh.
Persidangan bersambung esok.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial