AM > BERITA

Syarikat Milikan Agensi KKDW Perlu Berorientasi Beri Pulangan Kepada Rakyat

10/02/2026 11:25 AM

KUALA TERENGGANU, 10 Feb (Bernama) -- Syarikat milikan agensi di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) perlu bergerak sebagai entiti berdaya saing, mampan dan berorientasikan keberhasilan yang memberi pulangan nyata kepada rakyat.

Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata dalam persekitaran korporat yang kompetitif, setiap kepimpinan perlu berani membuat keputusan strategik demi kelangsungan organisasi.

“Saya yakin, dengan kepimpinan berani dan disiplin pelaksanaan yang konsisten, syarikat milikan agensi KKDW mampu menjadi pemangkin pertumbuhan ekonomi luar bandar yang lebih progresif dan mampan, Insya-Allah,” katanya dalam hantaran di Facebook miliknya hari ini.

Beliau berkata perkara tersebut disampaikannya menerusi Sesi Bersama Syarikat Milikan Agensi pada Permukiman KKDW 2026 yang diadakan bermula Ahad lepas hingga hari ini di Kuala Nerus.

Ahmad Zahid yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata pada sesi tersebut beliau turut menegaskan bahawa tadbir urus yang telus, berintegriti dan berprestasi tinggi mesti menjadi asas pengurusan syarikat. 

Sementara itu, beliau berkata anjakan daripada ‘cost centre’ kepada ‘profit centre’ yang dilaksanakan sebelum ini mula membuahkan hasil apabila prestasi kewangan subsidiari menunjukkan peningkatan pendapatan dan keuntungan yang lebih kukuh. 

“Namun pencapaian ini hanyalah asas untuk melangkah lebih jauh. Keutamaan seterusnya ialah memastikan setiap keuntungan diterjemahkan kepada manfaat rakyat melalui pemanfaatan aset secara optimum, pengukuhan rantaian nilai industri luar bandar serta penggunaan data sebagai sumber baharu penjanaan pendapatan,” katanya.

Sesi Permukiman KKDW 2026 pada hari ini diteruskan dengan sesi bersama syarikat milikan agensi yang menghimpunkan pengerusi agensi, ketua agensi, ketua jabatan dan ketua pegawai eksekutif serta barisan pengurusan syarikat di bawah KKDW 

Ia diadakan bagi memperkukuh hala tuju syarikat sebagai pemacu ekonomi luar bandar.

Sesi Permukiman KKDW 2026 antara lain menyaksikan sesi pelaporan prestasi syarikat bagi tahun 2025 dan hala tuju syarikat untuk tahun ini.

Ahad lepas, Ahmad Zahid turut melancarkan Pelan Strategik KKDW 2026-2030 yang menetapkan hala tuju pembangunan luar bandar bagi tempoh lima tahun.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan