AM > BERITA

Malaysia Komited Tangani Keganasan, Ekstremisme Melalui IMCTC

10/02/2026 11:40 AM

KUALA LUMPUR, 10 Feb (Bernama) -- Penyertaan Malaysia dalam Pakatan Ketenteraan Islam Memerangi Keganasan (IMCTC) yang berpusat di Arab Saudi mencerminkan komitmen negara untuk terus memainkan peranan aktif dalam memperkukuh kerjasama antarabangsa bagi menangani pelbagai bentuk ancaman keselamatan, termasuk keganasan dan ekstremisme.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata dalam konteks itu, Malaysia berpendirian tegas untuk mengekang dakyah songsang serta ancaman dibawa oleh kumpulan-kumpulan bukan negara yang boleh menggugat keselamatan dan kestabilan.

Beliau berkata demikian menerusi hantaran di media sosial, selain berkongsi pertemuannya dengan dua pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang kini bertugas di IMCTC ketika lawatan kerjanya ke Riyadh.

Dua pegawai berkenaan ialah Leftenan Kolonel Mohd Shah Othman dan Pegawai Analisis Mejar Zainudin Abu Hasan.

“Saya merakamkan penghargaan atas dedikasi dan profesionalisme kedua-dua pegawai ATM ini yang membawa nama baik Malaysia, di samping menyumbang kepada usaha kolektif demi keselamatan dan kestabilan serantau serta global,” katanya.

Mohamed Khaled kini dalam lawatan kerja ke Arab Saudi bermula Sabtu lepas dan dijadual memeterai perjanjian kerjasama pertahanan antara Malaysia dan negara Teluk itu.

Sepanjang lawatan berkenaan, beliau turut mengadakan pertemuan dua hala bersama Menteri Pertahanan Arab Saudi Putera Khalid bin Salman Al Saud serta menghadiri Pameran Pertahanan Dunia (WDS) 2026.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan