AM > BERITA

Penunggang Motosikal Maut Dirempuh Pemandu Dipercayai Alami 'Microsleep'

10/02/2026 10:30 PM

MELAKA, 10 Feb (Bernama) -- Seorang penunggang motosikal maut manakala empat lagi cedera dalam kemalangan melibatkan tiga motosikal dan tiga kereta di persimpangan lampu isyarat Padang Jambu, di sini petang tadi.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata kejadian kira-kira 2 petang itu menyebabkan Mohd Shahrol Anuar Md Roby, 44, meninggal dunia di tempat kejadian akibat cedera parah di bahagian kepala, muka, badan dan tangan.

Beliau berkata berdasarkan siasatan awal, kemalangan berlaku apabila lelaki berusia 35 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi dari arah Bandar Melaka ke Bukit Beruang dipercayai terlelap seketika, lalu memasuki laluan bertentangan dan merempuh beberapa kenderaan yang berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.

“Mereka yang cedera ialah dua penunggang motosikal masing-masing berusia 25 tahun dengan mengalami kecederaan di kaki kanan, seorang wanita berusia 48 tahun yang memandu kereta Proton Saga (cedera pada dahi dan mengadu sakit di bahu) serta pemandu Perodua Myvi itu yang hanya melecet di siku.

“Kemalangan turut melibatkan sebuah kereta BMW, namun pemandunya tidak mengalami sebarang kecederaan,” katanya.

Christopher berkata pemandu Perodua Myvi berkenaan didapati negatif terhadap dadah, namun sampel darah telah diambil untuk ujian toksikologi. 

Polis juga telah memperoleh rakaman kamera papan pemuka daripada saksi bebas untuk membantu siasatan.

Beliau berkata mayat dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka untuk bedah siasat manakala pemandu Perodua Myvi itu akan dibawa ke Mahkamah Ayer Keroh esok bagi permohonan reman untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan