AM > BERITA

Lebih 9,000 Dilatih Kuasai BIM, Pacu Pendigitalan Industri Pembinaan Negara

11/02/2026 03:48 PM

SHAH ALAM, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 9,375 peserta industri telah menerima latihan berkaitan pemodelan maklumat bangunan (BIM) pada pelbagai platform seperti myBIM Centre dan rangkaian Satelit myBIM di seluruh negara, sekali gus menyokong aspirasi pendigitalan industri pembinaan negara.

Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata jumlah berkenaan turut membabitkan peserta yang melalui program latihan berfasa dikendalikan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB).

“Dalam perancangan pembangunan negara jangka sederhana di bawah Rancangan Malaysia Ketiga Belas (RMK-13) bagi tempoh 2026 hingga 2030, kerajaan telah memperuntukkan lebih RM430 bilion bagi pelaksanaan program dan projek pembangunan negara, termasuk sektor infrastruktur dan pembinaan. 

“Di bawah pelan ini, penggunaan teknologi moden seperti Industrialised Building System (sistem binaan berindustri) dan BIM dikenal pasti sebagai antara instrumen utama untuk meningkatkan produktiviti, mempercepat tempoh siap projek serta mengurangkan pembaziran dan kos pembinaan,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan myBIM Satellite Centre Persatuan Kontraktor Bumiputera Malaysia (PKBM), di sini hari ini. 

Nanta berkata penggunaan BIM dilihat sebagai satu pendekatan yang signifikan kerana ia satu kaedah kerja bersepadu yang membolehkan perancangan, penyelarasan dan pengurusan projek dilaksanakan dengan lebih teratur sepanjang kitaran hayat projek.

Beliau berkata pelaksanaan BIM membolehkan isu teknikal dikenal pasti pada peringkat awal, seterusnya membantu mengurangkan risiko kelewatan, pembaziran kos serta keperluan kerja pembetulan semula di tapak bina, sekali gus menyumbang kepada peningkatan kualiti hasil pembinaan dan kecekapan penyampaian projek.

“RMK-13 turut mengunjurkan sektor pembinaan sebagai satu daripada pemacu pertumbuhan ekonomi negara, dengan sasaran pertumbuhan purata kira-kira lima peratus setahun sepanjang tempoh pelan berkenaan. 

“Sasaran ini hanya dapat dicapai sekiranya industri bersedia mengadaptasi pendekatan kerja yang lebih cekap, bersepadu dan berteraskan teknologi,” katanya. 

Menyedari cabaran dihadapi kontraktor tempatan khususnya kecil dan sederhana, dalam menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi, Nanta berkata pembangunan kapasiti dan peningkatan keupayaan perlu dilaksanakan secara berperingkat, berstruktur dan inklusif.

Beliau berkata CIDB Malaysia perlu terus memainkan peranan sebagai agensi peneraju industri pembinaan negara, khususnya dalam merangka dasar, membangunkan modul latihan serta menggalakkan penerapan teknologi dan amalan terbaik dalam industri pembinaan.

“Usaha ini memerlukan kerjasama berterusan antara kerajaan, agensi pelaksana, institusi latihan serta pemain industri. Penyediaan platform latihan dan kemudahan pembelajaran yang bersesuaian adalah pelengkap penting kepada dasar dan inisiatif yang telah digariskan oleh kerajaan.

“Kerjasama strategik antara CIDB, pihak industri dan persatuan berkaitan wajar diteruskan bagi memastikan agenda transformasi industri pembinaan dapat dilaksanakan secara menyeluruh, tersusun dan berimpak tinggi,” katanya. 

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan