SERDANG, 11 Feb (Bernama) -- Sebanyak 151 bakal pesara dan veteran Angkatan Tentera Malaysia (ATM) berjaya dilatih dalam bidang pertanian menerusi kerjasama Perbadanan Hal Ehwal Bekas Angkatan Tentera (PERHEBAT) dan Universiti Putra Malaysia (UPM).
Timbalan Menteri Pertahanan Adly Zahari berkata menerusi program itu yang dilaksanakan sejak Mac 2023, peserta berjaya menghasilkan 24 tan cili dan terung, tiga tan ikan keli serta tujuh tan sun melon, sekali gus membuka peluang kerjaya kedua yang mampan dalam sektor agromakanan.
Beliau berkata program latihan berstruktur selama enam bulan bagi setiap kohort itu bukan sekadar memberi pendedahan asas, malah meliputi keseluruhan rantaian industri termasuk pembenihan, penjagaan, pengeluaran dan pemasaran.
“Hasil pertanian yang diusahakan dipasarkan di Putra Mart, pusat jualan di UPM Serdang serta kepada pemborong sekitar Selangor. Ini memberi pengalaman sebenar kepada peserta mengenai pasaran dan pengurusan hasil,” katanya selepas lawatan kerja ke tapak program berkenaan di Pusat Pertanian Putra, UPM, di sini hari ini.
Beliau berkata program itu menyediakan lapan plot merangkumi tanaman fertigasi cili dan terung, sun melon, nanas, jagung serta cendawan, selain penternakan puyuh, ayam, itik, ruminan dan perikanan air tawar.
“Pendekatan latihan yang komprehensif membolehkan peserta memahami keseluruhan ekosistem perniagaan pertanian, termasuk aspek pemasaran dan penggunaan teknologi digital,” katanya.
Adly berkata program berkenaan juga selaras dengan Dasar Industri Pertahanan Negara (DIPN) khususnya Inisiatif Strategik 12 yang menekankan pemerkasaan modal insan dan sosioekonomi bakal pesara serta veteran ATM serta diperkukuh melalui Pelan Transformasi PERHEBAT 2026–2035.
“Di bawah pelan transformasi itu, PERHEBAT akan melaksanakan Hebat E-Co, satu inisiatif baharu bagi membantu veteran membangunkan ekonomi secara berkelompok dalam sektor agromakanan melalui kerjasama strategik bersama universiti awam, agensi kerajaan serta syarikat berkaitan industri,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial