AM > BERITA

MTD Properties Serah Kunci Rumah Mampu Milik Berkualiti Tinggi Di Ayer Keroh

11/02/2026 10:02 PM

MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- MTD Properties meraikan satu lagi pencapaian penting menerusi penyerahan kunci rumah kepada pemilik baharu MTD Cinerea Heights, sekali gus memperkukuh komitmen syarikat dalam menyediakan kediaman mampu milik berkualiti tinggi di Ayer Keroh.

Ketua Pembangunan Hartanah MTD Properties Wahidatul Al Fairus Wahid berkata penyerahan kunci itu menjadi bukti keupayaan dan komitmen berterusan syarikat dalam membangunkan kediaman berkualiti tanpa mengabaikan kemampuan pembeli.

“Di MTD Properties, kemampuan tidak bermakna kompromi dari segi kualiti, reka bentuk dan lokasi. MTD Cinerea Heights menyerlahkan pendekatan ini dengan menyediakan persekitaran hidup yang seimbang dan bernilai jangka panjang,” katanya dalam kenyataan hari ini. 

Beliau berkata projek berkenaan turut mencerminkan pengiktirafan yang diterima syarikat sebelum ini, termasuk anugerah Best Affordable Homes Developer oleh PropertyGuru Asia Property Awards Malaysia 2025 di Kuala Lumpur serta Best Affordable Residential Developer (Asia) oleh PropertyGuru Asia Awards 2025 di Bangkok, Thailand tahun lepas.

Wahidatul Al Fairus berkata MTD Cinerea Heights mencatat skor 76 peratus di bawah Sistem Penilaian Kualiti dalam Pembinaan (QLASSIC), sekali gus memperlihatkan mutu pembinaan serta pematuhan terhadap piawaian industri.

"Dengan jumlah keseluruhan 235 unit kediaman, pembangunan itu merekodkan kadar jualan melebihi 90 peratus, mencerminkan keyakinan pasaran terhadap penawaran kediaman bernilai kompetitif dan berdaya huni yang dirancang secara teliti bagi memenuhi keperluan serta gaya hidup masyarakat masa kini, khususnya di Ayer Keroh," katanya. 

Beliau berkata projek berkenaan direka berasaskan gaya hidup urban moden dengan setiap unit mempunyai keluasan binaan 967.71 kaki persegi serta keluasan tanah antara 1,539 hingga 3,574 kaki persegi. 

"Kediaman tiga bilik tidur dan dua bilik air itu turut menyediakan ruang parkir luas untuk dua kereta, menawarkan susun atur praktikal dan selesa untuk keluarga sementara reka bentuk minimalis moden yang diterapkan mengimbangi fungsi dan kesederhanaan, disokong persekitaran hijau termasuk kehadiran Taman Rimba seluas dua ekar berhampiran," katanya.

Dari segi lokasi, beliau berkata projek itu terletak di kawasan strategik Ayer Keroh dengan akses mudah ke pelbagai kemudahan termasuk pusat komersial, pejabat kerajaan, institusi pendidikan serta kawasan rekreasi, di samping turut disokong jaringan perhubungan strategik melalui Lebuhraya Utara-Selatan dan Lebuhraya SPA yang memudahkan pergerakan ke destinasi utama sekitar Melaka.

Sementara itu, seorang pemilik kediaman di MTD Cinerea Heights Janice Yong berkata lokasi strategik menjadi faktor utama dalam membuat keputusan pembelian rumah tersebut.

“Rumah ini berhampiran dengan kemudahan harian dan juga rumah ibu saya. Harganya berpatutan dan ruang yang ditawarkan sangat selesa dan sesuai untuk keluarga kecil kami,” katanya yang juga pembeli rumah pertama.

Seorang lagi pemilik baharu yang dikenali sebagai Shafika berkata lokasi projek yang strategik dan dikelilingi kehijauan menjadi tarikan utama.

“Lokasinya sangat strategik kerana berhampiran dengan pelbagai kemudahan seperti agensi kerajaan dan lebuh raya, jadi mudah untuk ke mana-mana.

"Selain itu pemandangan hijau dari hutan sekeliling amat menenangkan. Saya yakin MTD Properties adalah syarikat yang boleh dipercayai,” katanya.

Dalam pada itu, berikutan sambutan menggalakkan terhadap MTD Cinerea Heights, MTD Properties bakal melancarkan satu lagi projek kediaman teres setingkat, MTD Elysia Heights, berkonsepkan moden kontemporari yang dikelilingi landskap kehijauan semula jadi, menggabungkan ketenangan dengan nilai mampu milik bagi memenuhi keperluan pemilikan rumah masa kini.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan