AM > BERITA

Dua Kumpulan Pecah Rumah Tumpas, Lima Lelaki Ditahan

11/02/2026 11:12 PM

MELAKA, 11 Feb (Bernama) -- Polis percaya berjaya menumpaskan dua kumpulan pecah rumah “Geng Sauk” dan "Geng Daus Botak” dengan penahanan lima lelaki, akhir bulan lepas.

Ketua Polis Daerah Melaka Tengah ACP Christopher Patit berkata tiga daripada mereka iaitu ahli "Geng Sauk” ditahan di tepi jalan Kampungg Paya Baru, Tiang Dua, kira-kira 7.30 malam 20 Jan lepas.

"Hasil siasatan mendapati, kesemuanya yang berusia 26 hingga 51 tahun disyaki terlibat dalam kejadian pecah rumah, curi komponen kenderaan serta kad akses Telekom Malaysia (TM) membabitkan tiga kes di Melaka Tengah dan satu kes di Jasin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata dua lagi iaitu ahli “Geng Daus Botak” pula ditahan di Banda Hilir dan Kota Laksamana, kira-kira 5 petang, 28 Jan lepas, dengan disyaki terlibat dalam beberapa kejadian pecah rumah serta stor di sekitar Melaka Tengah sejak tahun lepas.

Christopher berkata hasil penahanan mereka, pihaknya percaya berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya tujuh kes pecah rumah dan stor.

"Polis turut merampas sebuah kenderaan dan beberapa peralatan pecah rumah serta sejumlah barangan disyaki hasil kegiatan pecah rumah seperti jam tangan, komputer riba, tablet, piano, telefon bimbit dan beg tangan," katanya.

Beliau berkata kelima-lima lelaki itu kini direman antara 29 Jan hingga 13 Feb bagi siasatan di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan dan Seksyen 379A(1) kanun sama.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan