AM > BERITA

Jumlah Muat Turun Aplikasi MyGOV Meningkat 200 Peratus Setakat Feb 2026 - Gobind

12/02/2026 12:51 PM

KUALA LUMPUR, 12 Feb (Bernama) -- Jumlah muat turun aplikasi MyGOV meningkat hingga 200 peratus melibatkan sebanyak 1,567,000 pengguna baharu setakat semalam berbanding hanya 437,000 pada Disember lepas.

Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata peningkatan itu menandakan tahap penerimaan yang positif dalam kalangan rakyat Malaysia terhadap aplikasi berkenaan yang ketika ini menyediakan sebanyak 44 perkhidmatan daripada 16 agensi kerajaan.

Beliau berkata ia juga susulan hebahan mengenai fungsi semakan status Sumbangan Tunai Rahmah dan Wang Tak Dituntut yang boleh dilaksanakan melalui aplikasi MyGOV.

“Proses integrasi perkhidmatan lain akan terus dilaksanakan secara berterusan dan juga berfasa dengan keutamaan diberikan kepada perkhidmatan bersifat umum, berimpak tinggi dan kerap digunakan oleh rakyat termasuk fungsi bagi permohonan serta pembayaran.

“Bagi tahun ini, lebih daripada 30 perkhidmatan baharu telah dirancang untuk proses integrasi ke dalam aplikasi MyGOV,” katanya pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini.

Gobind menjawab soalan Tan Hong Pin (PH-Bakri) mengenai sama ada kerajaan bercadang mewujudkan satu aplikasi (Government Super Apps) untuk menyatukan semua urusan kerajaan bagi menggantikan pelbagai aplikasi yang digunakan secara bersendirian oleh agensi kerajaan.

Menjawab pertanyaan mengenai kos pembangunan MyGOV, Gobind berkata platform itu dibangunkan secara dalaman (in-house) oleh pakar-pakar penjawat awam menggunakan platform dan infrastruktur di bawah inisiatif sedia ada.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan