AM > BERITA

KPDN Perkasa MYCC, Pindaan Akta Dibentang Pada Sidang Parlimen Akan Datang

12/02/2026 04:57 PM

SABAK BERNAM, 12 Feb (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) dijangka membentangkan pindaan Akta Suruhanjaya Persaingan 2010 (Akta 712) dan Akta Persaingan 2010 selewat-lewatnya pada sidang parlimen akan datang.

‎Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Mohd Ali berkata ia bagi memperkasakan kapasiti serta bidang kuasa Suruhanjaya Persaingn Malaysia (MyCC) dalam mengekang amalan kartel yang boleh menjejaskan kos dan harga, sekali gus membebankan pengguna. 

‎Beliau berkata pindaan berkenaan memastikan empat kesalahan utama menjurus kepada aktiviti kartel antaranya pakatan dalam penetapan harga, pasaran, kuantiti pengeluaran dan tipuan bida dapat dibanteras dengan lebih berkesan. 

‎"Antara perkara akan dilihat ialah (perluasan) bidang kuasa MyCC, contohnya, sebelum ini kalau sampai ke peringkat ‎tribunal rayuan persaingan pihak yang didapati bersalah oleh MyCC itu boleh membuat rayuan lagi, tetapi MyCC hanya di tahap tribunal rayuan persaingan saja. 

‎"Yang kedua ialah yang terkait dengan bidang kuasa penyiasatan. Kita ingin perluaskan lagi bidang kuasa penyiasatan tersebut," katanya ketika ditemui selepas melancarkan Inisiatif Ihsan Food Bank (i-FB) di sini hari ini. 

‎Armizan berkata setakat ini, sebanyak 500 perusahaan berada di bawah pemantauan dengan pihaknya turut memohon kerjasama orang ramai untuk menyalurkan maklumat kepada agensi berkaitan agar siasatan boleh dijalankan. 

‎Beliau turut menyambut baik keputusan sebulat suara Tribunal Rayuan Persaingan (TRP) yang menolak semua rayuan dikemukakan beberapa syarikat terhadap keputusan MyCC pada Disember 2023 berhubung pelarasan harga makanan ayam.

‎Semalam, MyCC memaklumkan rayuan itu dikemukakan Leong Hup Feedmill Malaysia Sdn Bhd, Dindings Poultry Development Centre Sdn Bhd, FFM Berhad dan Gold Coin Feedmills (M) Sdn Bhd berkaitan pelanggaran Seksyen 4 Akta Persaingan 2010 [Akta 712].

‎Pada Disember 2023, MyCC mengenakan penalti berjumlah RM415.5 juta kepada lima syarikat pengisar makanan ayam kerana melanggar Akta 712 melalui pembentukan kartel penetapan harga makanan ayam.

‎-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan