AM > BERITA

Liputan 5G Di Enam Hab Pengangkutan Perkukuh Imej Malaysia Sempena TMM2026

12/02/2026 07:48 PM

SEPANG, 12 Feb (Bernama) -- Pelaksanaan liputan 5G di enam hab pengangkutan utama negara merupakan langkah strategik dalam menyokong agenda transformasi digital, memperkukuh pertumbuhan ekonomi, sekali gus meningkatkan imej Malaysia sebagai destinasi pelancongan bersempena dengan Tahun Melawat Malaysia 2026 (TMM2026).

Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata antara objektif strategik kerajaan bersempena dengan TMM2026 ialah memastikan pelawat mendapat tanggapan yang baik berhubung kemudahan Internet, hospitaliti serta destinasi menarik yang ditawarkan negara.

Beliau berkata pelaksanaan 5G oleh U Mobile, iaitu pengendali rangkaian 5G kedua Malaysia dengan kerjasama EDOTCO itu merangkumi Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1 dan 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), Lapangan Terbang Antarabangsa Langkawi (LGK), Penang Sentral dan Terminal Bersepadu Selatan.

"Hab pengangkutan ini berfungsi sebagai pintu masuk utama ke negara kita. Hab ini mewujudkan tanggapan pertama kepada pelawat dan memainkan peranan penting dalam memudahkan perdagangan, pelancongan dan aktiviti ekonomi.

"Liputan 5G dalam bangunan yang dilaksanakan di enam hab ini akan menjadi pencetus perubahan bukan sahaja kepada pelancong, tetapi juga kepada petugas, peruncit dan operasi, membolehkan kecekapan dan produktiviti yang lebih tinggi melalui ketersambungan yang maju," katanya pada majlis pelancaran liputan Ultra5G dalam bangunan di KLIA Terminal 1, di sini hari ini.

Fahmi berkata kadar penggunaan 5G di Malaysia melonjak secara signifikan daripada kira-kira 4.7 juta pengguna pada dua tahun lepas kepada 28 juta pengguna setakat Disember 2025, sekali gus mencerminkan penerimaan kukuh terhadap teknologi rangkaian generasi baharu itu.

Beliau turut menjangkakan lebih banyak pelaksanaan lebih pantas serta penyertaan pengendali rangkaian mudah alih (MNO) baharu dengan pelan dan pakej yang lebih kompetitif untuk pengguna.

Fahmi berkata liputan 5G di hab pengangkutan bukan sahaja mempamerkan pencapaian Malaysia dalam kelajuan Internet, malah turut memberikan peluang kepada negara menonjolkan kekuatan infrastruktur digital kepada pelawat antarabangsa sebaik sahaja mereka tiba.

"Hab pengangkutan merupakan lokasi pertama pelancong berinteraksi dengan negara kita. Jika mereka menerima layanan baik serta kemudahan Internet yang sangat laju, ia akan memberikan kesan positif terhadap pengalaman keseluruhan mereka di Malaysia," katanya.

Fahmi berkata Malaysia kini antara negara yang menawarkan harga Internet paling murah di dunia dan pelaksanaan 5G di pintu masuk utama negara dijangka meningkatkan lagi keterujaan pelancong.

Fahmi berkata selain meningkatkan pengalaman pengunjung, teknologi 5G di hab pengangkutan juga berpotensi dimanfaatkan untuk aplikasi keselamatan termasuk penggunaan kamera berkeupayaan 4K, teknologi Reduced Capability (RedCap), robotik serta kecerdasan buatan (AI) bagi memperkukuh pemantauan.

Beliau berkata pelaksanaan rangkaian 5G turut membantu merealisasikan hasrat kerajaan dari segi perancangan dan pembangunan infrastruktur digital.

"Kita harap pihak berkuasa tempatan dan juga pemilik bangunan memanfaatkan bukan sahaja kelajuan rangkaian, tetapi juga teknologi berkaitan seperti kamera RedCap bagi pemantauan aspek keselamatan yang boleh dilaksanakan pada tahap 4K serta disesuaikan dengan penggunaan teknologi AI untuk menyaring dan mengesan individu tertentu yang menjadi tumpuan pihak berkuasa.

"Saya percaya itu antara manfaat daripada penggunaan teknologi 5G, dan sekiranya diperluas kepada aplikasi dalam sektor lain, sudah pasti pelbagai sektor akan dapat menikmati manfaat tersebut," katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan