KOTA KINABALU, 12 Feb (Bernama) -- Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah menahan dua lelaki atas kesalahan menyimpan seekor anak beruang madu di sebuah premis serta memiliki bahagian haiwan dilindungi itu, dalam operasi berasingan hari ini.
Pengarahnya Mohd Soffian Abu Bakar berkata kedua-dua individu tersebut ditahan dalam serbuan operasi penguatkuasaan dijalankan di Kota Marudu dan Lahad Datu.
Beliau berkata operasi mengikut Enakmen Pemeliharaan Hidupan Liar 1997 (EPHL 1997) itu susulan aduan orang awam berhubung satu video dimuat naik di laman sosial yang memaparkan seekor beruang madu di sebuah lokasi tarikan awam, semalam.
"Hasil serbuan mendapati seekor anak beruang madu disimpan dalam premis itu untuk tujuan tontonan awam dan seorang lelaki yang disyaki pemilik atau pengurus premis telah ditahan bagi membantu siasatan.
"Dalam operasi berasingan, seorang lagi lelaki ditahan di sebuah premis kedai makan di Lahad Datu kerana disyaki memiliki tiga taring beruang madu yang dijadikan perhiasan. Individu ini ditahan bagi tujuan siasatan lanjut dan barang kes telah dirampas," katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata beruang madu atau Helarctos malayanus merupakan spesies Dilindungi Sepenuhnya di bawah Jadual 1 EPHL 1997, justeru tiada lesen atau permit dikeluarkan kepada orang awam untuk memburu, memiliki, menyimpan atau mempamerkan spesies tersebut.
Mohd Soffian berkata jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan denda tidak kurang RM50,000 dan tidak melebihi RM250,000 serta hukuman penjara tidak kurang setahun dan tidak melebihi lima tahun.
"JHL Sabah tidak akan berkompromi terhadap sebarang pelanggaran undang-undang berkaitan hidupan liar. Jabatan turut merakamkan penghargaan kepada orang awam yang menyalurkan maklumat berhubung jenayah hidupan liar.
"Orang awam yang berhadapan dengan situasi melibatkan spesies Jadual 1 seperti beruang madu dinasihatkan agar segera melaporkan kepada JHL Sabah atau menyerahkan haiwan tersebut dengan kadar segera bagi tujuan penyelamatan dan pengurusan selanjutnya," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial