KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- BERNAMA Radio menyemarakkan sambutan Hari Radio Sedunia 2026 yang diraikan pada 13 Feb setiap tahun dengan menyajikan pelbagai pengisian istimewa termasuk menghimpunkan ikon penyiaran radio.
Pengurus Kanan BERNAMA Radio Endok Baleana Bachok yang menjalankan tugas dan tanggungjawab Ketua Radio berkata bekas penyampai radio Mohd Nor Amin atau Noramin, Halim Othman dan Linda Onn antara jemputan yang akan berkongsi pengalaman mendepani cabaran serta evolusi dunia penyiaran radio sepanjang karier mereka.
“Sambutan Hari Radio Sedunia kali ini turut diserlahkan menerusi siaran serentak BERNAMA Radio X IKIMfm yang memberi peluang kepada pendengar mengenali peneraju dan DJ dua stesen itu.
“Selain itu, BERNAMA Radio turut bersiaran dari Bernama Mobile Studio dengan Radio Elshinta Jakarta menerusi program Radio@TV," katanya.
Beliau berkata seiring dengan tema sambutan kali ini, iaitu Radio dan Kecerdasan Buatan (AI), BERNAMA Radio turut membawa pakar akademik bagi mengupas kepentingan AI dalam penyiaran radio.
“Ledakan AI menuntut kita untuk beradaptasi dengan teknologi itu dan radio perlu meneroka bagaimana AI dapat meningkatkan kualiti dan kreativiti penyampaian serta kandungan selain membantu dari segi penjanaan idea, skrip dan suntingan,” katanya.
Sambutan Hari Radio Sedunia di BERNAMA Radio turut diserikan dengan suara penyampai radio yang masih ke udara menerusi segmen Refleksi Nuansa.
Antara yang akan ditemu bual dan berkongsi cerita ialah penyampai radio Negeri FM Norlizahana Abdullah Sani atau lebih dikenali Nen Tebabo, Dassky Shah Ewas Hamshah daripada Selangor FM dan Kai Hassan penyampai radio Suria FM.
BERNAMA Radio boleh didengar melalui frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM100.9 (Kuching) dan FM 107.9 (Kota Kinabalu), selain penstriman audio langsung menerusi laman sesawang www.bernama.com/radio, saluran MYTV 711 serta aplikasi BERNAMA dan MYTV Mana-Mana.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial