AM > BERITA

Radio Terus Relevan Sebagai Medium Penyatu Masyarakat - Pakar

13/02/2026 07:44 PM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Radio akan terus memainkan peranan penting sebagai medium penyatu masyarakat walaupun berdepan evolusi teknologi dan kemunculan platform digital. 

Pensyarah kanan Program Penyiaran Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media, Universiti Teknologi MARA (UITM) Dr Shahnon Mohamed Salleh berkata sejarah perkembangan radio membuktikan ia sentiasa beradaptasi dengan perubahan zaman sambil mengekalkan fungsi sosialnya.

Beliau berkata sejak era awal penyiaran, radio berperanan sebagai alat penyampai maklumat dan propaganda bagi menyatukan rakyat, termasuk ketika tempoh pascakemerdekaan serta konfrontasi serantau, sekali gus membentuk peranannya dalam masyarakat.

“Radio digunakan sebagai alat utama untuk menyatupadukan rakyat Malaysia ketika konfrontasi Indonesia dan pada ketika itu antara lagu popular yang sering dimainkan ialah 'Inilah Barisan Kita' (Prajurit Tanah Air) yang menjadi sumber kekuatan rakyat," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Bernama Radio bertajuk Radio dan Kecerdasan Buatan bersempena Hari Radio Sedunia 2026 di Bernama Radio, hari ini.

Shahnon berkata industri radio kini memasuki fasa integrasi digital apabila stesen penyiaran menggabungkan siaran tradisional dengan platform media sosial dan teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI).

Katanya AI membantu dari segi proses penerbitan, pencarian kandungan serta analisis data pendengar, namun teknologi itu perlu dilihat sebagai alat sokongan dan bukannya pengganti peranan manusia.

“AI sepatutnya menjadi pembantu dalam meningkatkan kecekapan produksi dan capaian kandungan. Sentuhan manusia masih penting untuk memastikan penyiaran kekal dekat dengan emosi dan budaya masyarakat,” katanya.

Beliau berkata persaingan radio hari ini bukan lagi sesama stesen penyiaran, tetapi melibatkan medium podcast, penstriman audio dan pelbagai platform digital lain.

Shahnon berkata beliau bagaimanapun optimis radio akan kekal relevan berdasarkan sejarah yang menunjukkan medium itu mampu menyesuaikan diri setiap kali muncul teknologi baharu.

“Selagi radio mampu beradaptasi tanpa mengabaikan nilai kemanusiaan dan kreativiti, ia akan terus menjadi medium yang dipercayai dan dekat dengan masyarakat,” katanya.

--BERNAMA 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan