AM > BERITA

Kerajaan MADANI Terus Pastikan Setiap Negeri Diberi Perhatian Sewajarnya - Anwar

13/02/2026 11:16 AM

KUALA LUMPUR, 13 Feb (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap negeri termasuk Kelantan diberi perhatian sewajarnya melalui dasar dan tindakan yang berpaksikan kepentingan rakyat.

Beliau berkata demikian susulan kunjungan hormat oleh Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nassuruddin Daud di pejabat beliau, semalam.

Anwar berkata antara perkara dibincangkan pada pertemuan itu ialah usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri, khususnya dalam mempergiat ikhtiar membantu rakyat Kelantan.

"Penekanan diberikan kepada peningkatan kesejahteraan hidup, peluasan peluang ekonomi serta pelaksanaan pembangunan yang adil dan seimbang.

"Kerajaan MADANI akan terus memastikan setiap negeri termasuk Kelantan diberikan perhatian sewajarnya dengan dasar dan tindakan yang berpaksikan kepentingan rakyat serta masa depan lebih terjamin untuk semua,” kata beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini.

Dalam hantaran berasingan, Perdana Menteri menerima kunjungan Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang Tun Ramli Ngah Talib bersama isteri Toh Puan Raja Noora Ashikin Raja Abdullah dalam majlis minum petang di Seri Perdana, petang semalam.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata pertemuan itu secara tidak langsung mengukuhkan lagi silaturahim yang telah lama terjalin, selain menjadi platform bertukar pandangan mengenai hala tuju pembangunan Pulau Pinang.

Beliau berkata perbincangan turut memberi penekanan kepada kesejahteraan rakyat serta potensi negeri itu sebagai pemacu pertumbuhan ekonomi negara.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan