IPOH, 13 Feb (Bernama) -- Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Hajiji Noor meminta pelajar Sabah, khususnya yang menuntut di luar negeri ini, supaya mengambil tahu sebarang perkara yang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah.
Beliau berkata mereka perlu mengambil tahu perkara itu secara peribadi dan tidak terpengaruh dengan cerita di luar yang bercakap perkara tidak betul mengenai kerajaan negeri.
Pelajar juga perlu mengetahui perkara sebenar dilakukan kerajaan negeri dalam membawa pembangunan dan menyelesaikan masalah di Sabah.
"Kita mesti ketahui secara peribadi, jangan kita terpengaruh dengan cerita di luar yang menyatakan bermacam-macam, sedangkan kerajaan negeri bersungguh-sungguh melaksanakan program untuk rakyat kita di Sabah.
"Percayalah, saya tahu ramai di sini datang dari pedalaman seperti Keningau, selain Tawau, Sandakan dan seluruh Sabah, pastikan kita dapat maklumat tepat dan betul mengenai program, dan pembangunan yang sedang dilaksanakan," katanya dalam kenyataan dikeluarkan Pejabat Ketua Menteri Sabah.
Hajiji berkata demikian dalam ucapan pada Majlis Pelancaran Inisiatif Bantuan Graduan Rindu Sabah/Subsidi Tiket Penerbangan Pelajar Sabah (GRS SubFly) Tahun 2026 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjong Malim, semalam.
Menurut kenyataan itu, inisiatif GRS SubFly Tahun 2026 itu akan memberikan manfaat secara langsung kepada 2,772 pelajar Sabah yang menuntut di UPSI, ketika ini.
Dalam pada itu, Hajiji turut mengingatkan pelajar Sabah yang menamatkan pengajian sama ada di Institusi Pengajian Tinggi tempatan di Semenanjung atau luar negara supaya kembali berkhidmat di Sabah.
"Jika ada peluang, baliklah untuk berkhidmat di Sabah, sumbangkan kepakaran sama ada yang diperoleh di dalam atau luar negara kepada Sabah," katanya.
Kenyataan itu memaklumkan, Hajiji turut menerangkan mengenai usaha yang sedang dilaksanakan Kerajaan Negeri Sabah, termasuk untuk menyelesaikan masalah air, jalan raya dan elektrik yang dijangka diselesaikan dalam tempoh setahun atau dua tahun dari sekarang.
Beliau turut menjelaskan mengenai usaha meningkatkan kutipan hasil negeri yang membolehkan kerajaan negeri memulangkan semula manfaat kepada rakyat menerusi pelbagai inisiatif seperti bantuan pendidikan dan kebajikan rakyat.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial