PUTRAJAYA, 13 Feb (Bernama) -- Permohonan Biasiswa Yang di-Pertuan Agong (BYDPA) 2026 dibuka kepada rakyat Malaysia yang cemerlang dalam bidang akademik dan bukan akademik bermula hari ini hingga 6 Mac.
Menurut kenyataan Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) hari ini, permohonan boleh dibuat secara dalam talian melalui portal rasmi JPA di https://penajaan.jpa.gov.my.
JPA memaklumkan biasiswa berprestij yang juga dikenali King’s Scholarship itu adalah antara penajaan tertinggi kerajaan dan disasarkan dapat melahirkan pemimpin akademik serta profesional bertaraf dunia.
"Biasiswa ini menyasarkan individu berpotensi tinggi yang menunjukkan kecemerlangan secara holistik merangkumi pencapaian akademik, penglibatan bukan akademik, kepimpinan unggul serta komitmen terhadap pembangunan negara," menurut kenyataan itu.
JPA memaklumkan biasiswa berkenaan ditawarkan kepada pelajar yang ingin melanjutkan pengajian secara sepenuh masa di peringkat Sarjana (Penyelidikan) dan Doktor Falsafah (PhD) sama ada di institusi pengajian tinggi tempatan atau universiti terkemuka dunia.
Antara bidang pengajian diberi keutamaan ialah Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), ekonomi, undang-undang, kewangan Islam serta kecerdasan buatan (AI) yang dikenal pasti memberi impak besar kepada pembangunan negara.
JPA memaklumkan borang permohonan yang lengkap perlu dicetak dan ditandatangani pemohon dengan lampiran dokumen sokongan dikemukakan kepada JPA sebelum atau pada 13 Mac ini, melalui serahan tangan atau pos.
Dokumen berkenaan perlu dialamatkan kepada Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam, Jabatan Perkhidmatan Awam, Bahagian Pembangunan Modal Insan, Aras 3, Blok C2, Kompleks C, Pusat Pentadbiran Kerajaan Persekutuan, 62510 Putrajaya (u.p: Unit Pengurusan Penawaran Dalam Perkhidmatan).
JPA memaklumkan permohonan turut dibuka kepada pegawai awam tertakluk kepada syarat-syarat umum permohonan kemudahan Cuti Belajar yang berkuat kuasa.
Sebarang pertanyaan lanjut boleh dilakukan melalui talian 03-8885 3569, 3438, 3879 atau 3571 atau e-mel kepada penawaranldp@jpa.gov.my.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial