AM > BERITA

SWCorp Buka 159 Kertas Siasatan Kes Buang Sampah Di Kedah

13/02/2026 03:55 PM

ALOR SETAR, 13 Feb (Bernama) -- Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Kedah membuka 159 kertas siasatan berkaitan kesalahan pembuangan sampah kecil sejak operasi penguatkuasaan bermula 1 Jan. 

Pengarahnya Shamsuharizal Basir berkata daripada jumlah itu 136 kes melibatkan warga tempatan, manakala 23 lagi bukan warganegara, yang terdiri daripada 156 lelaki dan tiga wanita.

Beliau berkata sebanyak 35 kertas siasatan telah mendapat tarikh sebutan di mahkamah, dan pesalah yang disabitkan kesalahan akan menjalani hukuman Perintah Khidmat Masyarakat (PKM) seperti ditetapkan.

“Jumlah itu mencerminkan tahap kesedaran kebersihan awam dalam kalangan rakyat negeri ini masih kurang, dan perlu dipertingkatkan,” katanya kepada pemberita semasa meninjau pelaksanaan PKM di pekarangan Stadium Darul Aman, di sini hari ini.

Dua pesalah lelaki berusia 39 tahun menjalani hukuman PKM yang kali pertama dilaksanakan bagi pesalah di negeri ini, masing-masing melibatkan seorang warga tempatan, yang berdepan hukuman PKM 10 jam dan warga Indonesia (enam jam).

Shamsuharizal berkata tempoh hukuman itu dilaksanakan secara berperingkat mengikut kemampuan pesalah.

“Aspek keselamatan dan kesihatan pesalah turut diberi perhatian sepanjang pelaksanaan hukuman, termasuk memberikan ruang untuk mereka berehat, jika perlu.

“Ia bukan sekadar melibatkan kerja menyapu sampah, malah merangkumi aktiviti pembersihan lain seperti cuci longkang, potong rumput, bersihkan tandas, buang sawang labah-labah serta mop lantai mengikut kemampuan pesalah,” katanya.

Shamsuharizal berkata lagi SWCorp tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang melakukan kesalahan membuang sampah kecil sama ada di tempat awam, dari dalam kenderaan mahupun di kawasan rekreasi.

Beliau berkata pihaknya juga akan terus melaksanakan operasi penyamaran di lokasi tumpuan awam dan kawasan pelancongan, yang dikenal pasti bagi mengesan pesalah.

-- BERNAMA

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan