SUNGAI PETANI, 14 Feb (Bernama) -- Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan mengaktifkan semula pergerakan Kelab Rakan Muda di setiap Parlimen di seluruh negara, kata Menterinya Dr Mohammed Taufiq Johari.
Beliau berkata insentif berjumlah RM1.11 juta diperuntukkan untuk permulaan bagi memperkasakan program-program di bawah Rakan Muda.
"Untuk mengaktifkan Kelab Rakan Muda ini, kita memberikan insentif sebanyak RM5,000 untuk permulaan bagi memperkasakan program-program di bawah Kelab Rakan Muda dan ini melibatkan RM1.11 juta secara keseluruhannya," katanya.
Beliau ditemui pemberita selepas merasmikan program Jelajah Rakan Muda dan Peluncuran Kalendar Mega Rakan Muda bertemakan "1 Bulan 1 Gaya Hidup Rakan Muda" di Taman Batik dekat sini hari ini.
Mohammed Taufiq berkata Kelab Rakan Muda merupakan platform yang sangat penting untuk membentuk masa depan negara menerusi penyediaan anak muda yang lengkap dengan sahsiah, jati diri serta ilmu
"Terdapat 222 kelab di seluruh negara, dengan setiap kawasan Parlimen ada satu kelab. Saya harap mereka akan bergiat aktif dan boleh memohon dana yang disediakan oleh kerajaan untuk menjalankan aktiviti di kawasan masing-masing," katanya.
Sementara itu, katanya pelaksanaan program Kalendar Mega Rakan Muda akan diadakan pada setiap bulan di lokasi berbeza, bersesuaian dengan gaya hidup di setiap lokasi penganjurannya.
"Setiap bulan kita akan pilih satu gaya hidup daripada 10 gaya hidup di bawah Program Rakan Muda, untuk kita laksanakan program, yang paling terdekat adalah Rakan Ekspresi dan Rakan Muda Ramadan," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial