AM > BERITA

Bank Rakyat Perkasa Usahawan Tempatan Pada Makkah Halal Forum 2026

15/02/2026 10:20 PM

KUALA LUMPUR, 15 Feb (Bernama) -- Bank Rakyat mengorak langkah proaktif dalam memperkasakan usahawan tempatan melalui penyertaan strategik pada Makkah Halal Forum 2026, selaras dengan aspirasi “Hebatkan Perniagaan Malaysia” oleh Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP).

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bank Rakyat Ahmad Shahril Mohd Shariff berkata menerusi inisiatif tersebut, Bank Rakyat membawa lima syarikat tempatan yang merupakan pelanggan bank berkenaan untuk meneroka peluang dagangan, menyertai sesi padanan perniagaan melibatkan pemain industri antarabangsa serta membina jaringan strategik di pasaran Timur Tengah.

“Melalui penyertaan ini, Bank Rakyat bertindak sebagai pemudah cara yang menghubungkan usahawan tempatan kepada peluang dagangan global, rakan strategik dan pasaran bernilai tinggi, sekali gus mempercepat penembusan produk Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Bank Rakyat menjangkakan inisiatif ini berpotensi menjana jualan eksport mencecah hampir RM2 bilion, sekali gus memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai pemain penting dalam industri halal global serta membuka lebih banyak peluang kepada usahawan tempatan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Antara syarikat tempatan yang terpilih menyertai inisiatif itu ialah Ayamas Integrated Poultry Industry Sdn Bhd, Jaman Tory Food Industries, Agro 19 Berhad, Ramly Food Processing Sdn Bhd dan A&A Empire Sdn Bhd (Bokitta).

QSR Trading Sdn Bhd, pengendali rangkaian jenama Ayamas dalam kenyataan sama memaklumkan menerusi inisiatif itu syarikat berkenaan akan mengetengahkan rangkaian jenama di bawah cabang pemasarannya termasuk Ayamas, Ayamas Kitchen, Life, Kewpie, Fatboi dan Lactima.

“Tahun ini juga menyaksikan perancangan pelancaran pelbagai produk sejuk beku baharu berasaskan sumber laut serta kategori tepung dan kentang goreng bagi memenuhi permintaan pasaran yang semakin berkembang,” katanya.

Makkah Halal Forum 2026 berlangsung dari 14 hingga 16 Feb di Makkah Chamber for Exhibitions and Events Centre, Arab Saudi, bertemakan “Halal: A Professional Industry”.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan