AM > BERITA

Semangat Muhibah Warnai Perayaan Februari 2026

16/02/2026 03:37 PM

Oleh Puti Iylia Maisarah

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Malaysia membuktikan gelaran “syurga kepelbagaian” bukan sekadar retorik apabila Februari tahun ini menyaksikan semangat perpaduan menerusi sambutan Thaipusam, Tahun Baharu Cina dan Ramadan diraikan dalam tempoh yang berdekatan.

Jika kalendar diibaratkan sebuah kanvas, bulan ini antara potret perpaduan istimewa melalui pertembungan warna-warni budaya dan tuntutan spiritual yang jatuh pada bulan sama, sekali gus menyerlahkan keharmonian negara yang terus utuh dalam kepelbagaian.

Sorotan unik itu bermula apabila bahang Thaipusam pada 1 Feb masih belum reda, namun jalan raya sudah dihiasi dengan warna merah Tahun Baharu Cina yang bakal disambut esok, sebelum Ramadan dijangka menyusul beberapa hari kemudian.

Pemandangan di pasar raya turut mencuri tumpuan apabila bakul limau mandarin tersusun bersebelahan dengan buah kurma, bukan sekadar strategi pemasaran, sebaliknya cerminan keharmonian yang diraikan tanpa mengira kaum dan agama.

Keindahan suasana itu diakui penjual buah-buahan di Taman Desa Setapak di sini, Muhammad Arif Erman, 23, yang menyifatkan aliran stok buah-buahan di kedainya bulan ini antara yang paling laris berikutan permintaan luar biasa pelanggan yang meraikan perayaan masing-masing.

Dia berkata bulan ini turut menyaksikan limpahan buah-buahan apabila pelanggan berbangsa India dan Melayu memborong berkotak-kotak limau untuk dihadiahkan kepada rakan berbangsa Cina.

"Ada pelanggan berbangsa India dan Melayu yang membeli limau. Majoriti membelinya sebagai hadiah untuk diberikan kepada orang lain,” katanya ketika ditemui Bernama.

Mengulas keistimewaan bulan ini, Muhammad Arif menyifatkan semangat kebersamaan rakyat Malaysia jauh lebih murni secara realiti berbanding yang sering digambarkan melalui media sosial.

“Di lapangan, kita dapat lihat masyarakat saling memahami, contohnya pelanggan saya sudah bertanya tentang operasi jualan semasa hari raya dan awal Ramadan kerana maklum dengan perubahan jadual jualan,” katanya.

Kawasan perniagaan yang dikelilingi komuniti majmuk merangkumi penduduk Melayu, Cina dan India juga menjadikan lokasi berkenaan sebagai titik pertemuan yang harmoni, menurut Muhammad Arif.

Dalam tempoh 28 hari yang singkat, rakyat menyaksikan "simfoni harmoni" yang jarang berlaku, sekali gus menuntut persediaan awal buat keluarga campuran dalam menyeimbangkan tradisi makan besar dengan persiapan menyambut Ramadan.

Bagi Nur Liyana Abdullah, 66, atau nama asalnya Lee Kim Bee, sambutan Tahun Baharu Cina kali ini tetap disulami dengan tanggungjawab sebagai mualaf, sambil mengekalkan warisan nenek moyang termasuklah tradisi membeli pakaian baharu, menyediakan hidangan istimewa, dan memberikan angpau.

Katanya, sejak mula menganjurkan majlis makan besar di rumahnya pada 2018, fokus utama ibu kepada lima orang anak itu adalah untuk memastikan keharmonian semua apabila berada di meja makan.

“Dahulu, kami sambut di rumah ibu saya, tetapi keluarga saya tidak dapat makan makanan disediakan (atas sebab faktor halal). Kini, kakak membantu memasak juadah Cina seperti nán rǔ cū zhāi (sup sayur) dan ayam kukus halia, manakala saya sediakan rendang serta sambal udang petai,” katanya.

Nur Liyana juga teruja menunaikan ibadah puasa selain kemeriahan bazar Ramadan yang turut dinantikan rakan bukan Islam yang ingin merasai keunikan suasana kebersamaan rakyat Malaysia.

Bagi usahawan, M. Gunawathy, 40, menyifatkan sambutan Thaipusam tahun ini menyentuh hati apabila melihat kehadiran masyarakat Melayu yang turut menyaksikan perarakan perayaan itu, sekali gus mempamerkan semangat perpaduan.

"Situasi ini ialah satu contoh terbaik kepada generasi akan datang, terutamanya kepada anak-anak kerana mereka akan mengikuti apa yang kita lakukan hari ini. Kita perlu hapuskan sikap rasis dan ego antara kaum di Malaysia,” katanya. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan