DUNIA > BERITA

31 SARJANA CHEVENING MALAYSIA KEMBALI KE TANAH AIR SELEPAS TAMAT PENGAJIAN DI UK

16/02/2026 11:29 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Seramai 31 rakyat Malaysia kembali ke tanah air selepas menamatkan pengajian pascasiswazah di United Kingdom (UK) di bawah Program Anugerah Chevening.

Kohort sarjana 2024/25 itu berhimpun dalam satu majlis resepsi pada 12 Feb lepas yang dihoskan oleh Timbalan Pesuruhjaya Tinggi British ke Malaysia David Wallace.

“UK berbangga dengan universiti-universiti bertaraf dunia serta tradisi kecemerlangan akademik dan penyelidikan yang mendalam.

“Saya gembira melihat sarjana Malaysia yang cemerlang memilih pendidikan di UK dan kembali ke Malaysia dengan kemahiran, pengetahuan serta rangkaian global baharu yang membolehkan mereka memberi sumbangan bermakna kepada negara,” kata Wallace dalam satu kenyataan pada Isnin (16 Feb).

Sarjana yang kembali itu menamatkan pengajian dalam pelbagai bidang termasuk tadbir urus, pembangunan dan dasar awam, pengajian undang-undang dan perlembagaan, pengajian autisme serta sumber lestari.

Mereka menyifatkan pengalaman Chevening sebagai sesuatu yang amat bermakna kerana membantu mengubah dan memperkaya kehidupan masing-masing.

“Mengalami sendiri infrastruktur inklusif di UK membuka mata saya. Kemudahan akses kerusi roda yang lancar dalam bas serta bandar yang mesra pejalan kaki selaras dengan kerangka Ketersediaan, Kebolehcapaian, Kebolehterimaan dan Kualiti (AAAQ).

“Kawasan hijau yang banyak dan mudah diakses menunjukkan kepada saya bahawa mobiliti dan alam semula jadi adalah hak, bukan keistimewaan, sekali gus membuktikan reka bentuk bandar merupakan satu pilihan moral,” kata seorang sarjana Dr Ardif Damiri yang menamatkan pengajian dalam Dasar Kesihatan Global di University of Edinburgh.

Anugerah Chevening adalah program biasiswa global kerajaan UK yang dibiayai dan ditadbir oleh Pejabat Luar Negara, Komanwel dan Pembangunan UK.

Program itu turut disokong oleh penajaan daripada rakan korporat Malaysia, termasuk Yayasan Khazanah, Yayasan CIMB, Yayasan Jeffrey Cheah dan Petronas, selain pembiayaan daripada universiti-universiti di British. Di Malaysia, program itu bermula pada 1983.

Malaysia kini merupakan penerima kedua terbesar Anugerah Chevening di ASEAN. Seramai 31 sarjana yang kembali itu kini menjadi sebahagian daripada 2,000 Alumni Chevening di negara ini.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan