SEREMBAN, 16 Feb (Bernama) -- Polis Negeri Sembilan akan meningkatkan penguatkuasaan di 12 lokasi panas atau hotspot yang kerap berlaku kesesakan serta empat lokasi black spot kemalangan sepanjang Ops Selamat 25 sempena perayaan Tahun Baharu Cina.
Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Alzafny Ahmad berkata antara lokasi hotspot termasuk Jalan Rasah/Plaza Tol Port Dickson, Jalan Batang Benar, Jalan Seremban-Kuala Pilah dan Jalan Seremban-Tampin manakala kawasan blackspot antaranya Jalan Port Dickson-Lubuk Cina dan Jalan Seremban-Kuala Klawang-Simpang Pertang.
"Sebanyak 318 pegawai dan anggota akan ditempatkan di lapangan sepanjang Ops Selamat yang bermula semalam hingga 20 Feb bagi menjalankan pemantauan dan penguatkuasaan secara berterusan.
“Saya juga mengarahkan semua ketua polis daerah memastikan pegawai dan anggota serta jabatan selain trafik bekerjasama bagi menjamin keselamatan,” katanya kepada pemberita selepas meninjau Ops Selamat 25 di sini hari ini.
Beliau berkata sebanyak 800,000 kenderaan dijangka memasuki Negeri Sembilan sempena Tahun Baharu Cina pada kali ini berbanding 460,000 kenderaan pada hari biasa.
Dalam pada itu, beliau berkata bagi tempoh sehari operasi berkenaan dilaksanakan, sebanyak 111 kemalangan membabitkan kematian, cedera parah, ringan dan kerosakan dilaporkan, iaitu di KM266.9 Lebuh Raya Utara-Selatan (arah utara) dan Jalan Persiaran Milenia 2.
Sementara itu, beliau berkata orang ramai diminta supaya menggunakan Aplikasi Volunteer Smartphone Patrol (VSP) atau mengisi borang balik kampung di balai polis berdekatan bagi membolehkan polis mengenal pasti dan meronda di kawasan rumah ditinggalkan kosong ketika musim perayaan.
Alzafny berkata orang ramai terutama penduduk yang menyambut Tahun Baharu Cina dinasihati supaya mematuhi peraturan berkaitan penggunaan mercun dan bunga api bagi memastikan keselamatan sepanjang perayaan.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial