GUA MUSANG, 16 Feb (Bernama) -- Menulis hajat, doa dan harapan di atas tanglung sebelum melepaskannya ke udara antara tradisi masyarakat Cina ketika menyambut tahun baharu.
Seorang penduduk di sini Yong Loi Heng, 65, berkata kong ming deng atau tanglung terbang biasanya dilepaskan bersama ahli keluarga dan rakan pada hari ke-15 tahun baharu untuk memanjatkan doa bagi memohon kesihatan, rezeki dan keharmonian berpanjangan.
"Malam berkenaan memang meriah dan amat dinantikan kerana ketika itu langit akan diterangi cahaya tanglung. Tanglung yang terbang bebas itu simbolik kepada melepaskan perkara lama dan membawa nasib malang pergi jauh, pada masa yang sama membawa harapan baharu.
"Semakin tinggi tanglung bermaksud nasib kita semakin baik. Sama seperti pergerakan kuda, kita inginkan kehidupan tahun baharu ini penuh dengan semangat, kekuatan dan ketabahan," katanya ketika ditemui pemberita di Kampung Batu Papan 2 di sini baru-baru ini.
Thong Yoke Tong, 50, pula berkata aktiviti melepaskan tanglung bukan sahaja menghidupkan tradisi turun-temurun, malah menyatukan mereka melalui majlis keramaian yang diadakan bersama keluarga.
"Suasana amat menyeronokkan dan ketika itu semangat kekeluargaan yang erat dapat dirasai. Kami akan saling membaca doa yang terdapat pada setiap tanglung dan saling mendoakan antara satu sama lain.
"Kita akan menggunakan tanglung udara yang diperbuat daripada kertas nipis dan mempunyai tempat untuk meletakkan sumbu bagi menyalakan api. Kesemua tanglung ini dibeli lebih awal dalam kuantiti yang banyak kerana kami akan menulis apa sahaja harapan dan impian yang dihajati di atasnya," katanya.
Katanya masyarakat setempat daripada kaum lain turut sama teruja menyaksikan tanglung dilepaskan.
"Setiap tahun kami turut diraikan oleh jiran tetangga dan ini membuatkan saya berasa bersyukur dapat hidup dengan aman dan harmoni dalam masyarakat yang majmuk," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial