AM > BERITA

MARDI Terajui Kolaborasi Nanas MS16, Perkukuh Jaminan Bekalan Makanan

16/02/2026 06:56 PM

KOTA BHARU, 16 Feb (Bernama) -- Kerjasama projek tanaman nanas varieti baharu MS16 melibatkan agensi di bawah Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) sedang dirancang untuk diperluas, kata Timbalan Ketua Setiausaha (Pembangunan) kementerian berkenaan Datuk Luqman Ahmad.

Beliau berkata peluasan itu susulan kejayaan projek rintis yang sedang dilaksanakan di beberapa negeri, dengan kerjasama antaranya akan membabitkan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO).

“Setakat ini beberapa negeri termasuk Johor dan Selangor telah menjalankan kolaborasi tanaman MS16 yang menunjukkan kejayaan memberangsangkan.

"Lebih 10,000 pokok nanas MS16 telah ditanam meliputi kawasan keseluruhan tujuh hektar dan projek berkenaan berpotensi membantu kerajaan memastikan bekalan makanan lebih terjamin," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata walaupun nanas adalah tanaman utama yang mengambil masa kira-kira setahun untuk dituai, projek itu turut disokong tanaman jangka pendek seperti ubi keledek yang boleh dituai dalam tempoh kira-kira tiga bulan bagi menjana pendapatan awal peserta.

Luqman berkata projek di Kelantan merupakan projek perintis berskala komersial pertama bagi varieti MS16 dan dijangka mula dituai pada hujung tahun ini.

Sementara itu, Ketua Pengarah MARDI Datuk Dr Mohamad Zabawi Abdul Ghani berkata harga nanas MS16 di peringkat ladang dianggar kira-kira RM3.50 sekilogram, manakala harga runcit antara RM10 hingga RM15 sekilogram bergantung kepada saiz dan kualiti.

"Berat sebiji nanas MS16 antara 1.5 hingga 2.5 kilogram. Ini membuktikan kita mampu menghasilkan sendiri hasil berkualiti tinggi tanpa terlalu bergantung kepada import.

"MARDI akan terus memperkenalkan varieti baharu dari semasa ke semasa dan saya yakin lebih banyak agensi akan menyertai inisiatif ini," katanya.

-- BERNAMA

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan