AM > BERITA

Masjid Perlu Diberi Nafas Baharu, Libatkan Anak Muda Dalam Pentadbiran - Zulkifli

16/02/2026 07:03 PM

PUTRAJAYA, 16 Feb (Bernama) -- Naratif masjid perlu berubah seiring peredaran zaman dengan memberikan ruang lebih luas kepada golongan muda untuk memainkan peranan dalam pentadbiran dan pengimarahan institusi itu, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.

Beliau berkata penglibatan anak muda tidak seharusnya terhad kepada tugas-tugas rutin seperti melipat sejadah atau menyusun meja, sebaliknya perlu diperluas kepada peranan lebih strategik bagi memacu profesionalisme dan keupayaan pengurusan masjid.

"Kita mahu melihat anak muda mengambil peranan sebagai pelapis pentadbiran masjid. Peranan orang muda hendaklah diperluas bagi memastikan keterlibatan mereka mampu memacu profesionalisme dan kemampuan masjid itu sendiri, lebih-lebih lagi dalam suasana dunia yang giat memperkenalkan teknologi kecerdasan buatan (AI).

"Kita mahu masjid menjadi hab komuniti yang menterjemahkan rasa kepunyaan terutama dalam kalangan anak-anak muda. Ruang masjid harus terbuka untuk aktiviti belia, diskusi ilmu, kesukarelawanan dan pusat kecemerlangan sosial merangkumi 10 gaya hidup di bawah Rakan Muda," katanya pada Majlis Prapeluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan, di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Dr Mohammed Taufiq Johari.

Zulkifli berkata stigma bahawa tanggungjawab mengimarahkan masjid hanya dipikul golongan warga emas atau pesara perlu diperbetulkan dengan rasional dan tindakan berterusan.

"Saya menyeru anak-anak muda sekalian, janganlah kita membiarkan ayahanda dan bonda kita yang semakin lanjut usia memikul beban fizikal sendirian dalam menguruskan rumah Allah, sedangkan kita yang muda dan gagah perkasa ini hanya sekadar menjadi pemerhati atau jemaah yang pasif.

"Masjid memerlukan kudrat orang muda. Masjid mendambakan idea yang segar. Kita tidak mahu anak muda hanya datang ke masjid sebagai tetamu semata-mata, atau hanya hadir ke masjid apabila sudah tua, tetapi kita mahu tenaga muda itu diperah sekarang demi manfaat agama," katanya.

Sementara itu, Dr  Mohammed Taufiq berkata inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan merupakan kerjasama strategik antara Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bersama Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) untuk memperkukuh agenda pembangunan belia yang holistik dan berteraskan nilai Malaysia MADANI.

Beliau berkata inisiatif itu mengiktiraf peranan rumah ibadat sebagai sumber pengetahuan, pusat kerohanian dan institusi sosial yang inklusif untuk menyatukan serta memperkukuh keharmonian.

Katanya pendekatan itu turut menyahut hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim supaya diwujudkan jawatankuasa belia di peringkat masjid.

"Melalui inisiatif ini, kita tidak hanya kerjasama secara biasa sahaja tetapi kita telah merangka pelbagai program dengan program-program yang sedia ada di peringkat JAKIM dan juga KBS, kita akan satukan.

"Maknanya JAKIM boleh mengisi program-program kerohanian KBS dan kita boleh menyediakan program kepimpinan di peringkat masjid untuk kita membentuk pemimpin masa depan yang lebih berkualiti untuk negara," katanya dan menambah kementerian juga bersedia bekerjasama dengan rumah ibadat lain dalam program seumpamanya.

Sementara itu, KBS dalam kenyataan memaklumkan inisiatif Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan digerakkan menerusi Jawatankuasa Bersama KBS-JAKIM, yang bertanggungjawab menyelaras aktiviti dan program yang bersesuaian bagi memakmurkan masjid, di samping melahirkan insan yang seimbang daripada aspek sahsiah, rohani, intelektual dan sosial.

Objektif utama Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan merangkumi empat teras utama, iaitu Kepimpinan Pelapis, Aset Negara Berimpak, Kesejahteraan Holistik dan Pencegahan Gejala Sosial.

Menurut kenyataan itu, Program Rakan Muda Ramadan akan dilaksanakan di 15 negeri termasuk Wilayah Persekutuan Labuan dan 113 daerah di seluruh negara, dengan fokus utama ialah aktiviti keagamaan dan kesukarelawanan.

"Kemuncak pelaksanaan inisiatif ini ialah Peluncuran Rakan Masjid X Rakan Muda Ramadan sempena Iftar MADANI bersama Perdana Menteri pada 22 Feb ini, yang bakal menghimpunkan kira-kira 10,000 pengunjung daripada pelbagai lapisan masyarakat khususnya golongan belia.

"Keunikan sambutan Rakan Muda Ramadan pada kali ini ialah kepelbagaian kaum daripada pelbagai latar belakang turut mengimarahkan majlis peluncuran dan bersama-sama berbuka puasa," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan