AM > BERITA

Tapisan Teliti Pastikan Hanya Individu Layak Anggotai IPCC - Saifuddin Nasution

16/02/2026 07:32 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Proses tapisan yang teliti dan menyeluruh dilaksanakan bagi memastikan hanya individu yang benar-benar layak dan berpengalaman dilantik menganggotai Suruhanjaya Bebas Tatakelakuan Polis (IPCC).

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata langkah itu penting bagi memastikan mereka yang diberi kepercayaan mampu memikul amanah serta memberikan sumbangan berkesan kepada sistem tadbir urus pasukan keselamatan negara.

"Mereka yang dipilih telah melalui proses tapisan yang teliti supaya hanya mereka yang benar-benar layak, berpengalaman dan mampu memikul amanah ini diberikan kepercayaan.

"Saya percaya gabungan pengalaman, ketegasan serta pandangan segar yang mereka bawa akan memberi nilai tambah kepada peranan IPCC sebagai badan semak dan imbang," katanya menerusi hantaran di Facebook. 

Beliau terdahulu menyampaikan Surat Cara Pelantikan kepada Timbalan Pengerusi dan Anggota IPCC hari ini.

IPCC ialah badan pemantau bebas yang beroperasi di bawah Akta 839 sejak 1 Julai 2023, bertujuan meningkatkan integriti, menyiasat salah laku anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan mengesyorkan tindakan tatatertib.

Suruhanjaya itu menangani aduan salah laku seperti rasuah dan penyeksaan serta mengesyorkan penambahbaikan bagi meningkatkan kepercayaan awam.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan