AM > BERITA

Program Ukhuwah, Singgah MADANI Diperhebat Dengan Kerjasama Sektor Korporat

16/02/2026 11:42 PM

KUALA LUMPUR, 16 Feb (Bernama) -- Akademi Kenegaraan Malaysia (AKM) akan memperhebat pelaksanaan Program Ukhuwah MADANI dan Singgah MADANI dengan penglibatan sektor korporat termasuk Petronas bagi memperluas impak kesejahteraan kepada rakyat.

Ketua Pengarah AKM Datuk Dr Roslan Hussin berkata beberapa syarikat besar seperti Mydin telah pun bekerjasama tahun lepas dengan menawarkan harga istimewa sebelum Hari Raya dan pada tahun ini, kerjasama itu dijangka lebih meluas dengan Petronas menyertai inisiatif tersebut.

"Insya-Allah, Petronas akan bersama dengan kita untuk menggerakkan Program Ukhuwah MADANI dan Singgah MADANI, dan saya percaya sokongan daripada sektor korporat ini akan memberi impak positif yang besar kepada masyarakat.

"Mereka ini menyediakan peluang-peluang pekerjaan kepada masyarakat susulan hasil pendapatan mereka, dan mereka kembalikan semula kepada masyarakat," katanya ketika menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV malam ini.

Beliau juga yakin kolaborasi antara kerajaan, komuniti dan sektor korporat untuk program berkenaan akan mencipta wajah baharu dengan semua pihak memainkan peranan dalam menyumbang kepada kesejahteraan rakyat.

Roslan juga berkata Program Ukhuwah MADANI yang dikendalikan oleh AKM menumpukan kepada pendekatan secara in situ atau terus di lokasi komuniti bagi memperkukuh semangat kecintaan kepada negara dalam kalangan rakyat terutama di kawasan pedalaman.

Dalam usaha memperluas capaian itu, beliau berkata AKM menjalinkan kerjasama dengan Persatuan Perpaduan Rakan Penghantar Malaysia yang dianggotai kira-kira 3,000 penghantar makanan di seluruh negara bagi membantu mengedarkan maklumat disediakan AKM kepada pelanggan mereka.

“Mereka boleh sampaikan maklumat itu hingga ke bawah, yang kadang-kadang kami di akademi tidak sampai, tetapi mereka boleh sampai ke kawasan tersebut,” katanya.

Menyentuh mengenai Program Singgah MADANI, Roslan berkata ia melibatkan kehadiran pemimpin di lokasi tumpuan seperti bazar Ramadan dan premis perniagaan bagi menyantuni masyarakat.

“Bila kita turun... apa yang kita buat itu mesti dapat memberi kesejahteraan kepada masyarakat atau penduduk setempat,” katanya sambil menambah program itu akan diperhebat sepanjang Ramadan dengan penglibatan komuniti di pelbagai negeri.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan