AM > BERITA

Saudara Baharu Terus Raikan Tahun Baharu Cina Bersama Keluarga, Harmoni Jadi Teras

17/02/2026 04:44 PM

TUMPAT, 17 Feb (Bernama) -- Sambutan Tahun Baharu Cina dalam kalangan saudara baharu di Kelantan terus diraikan dalam suasana harmoni apabila mereka pulang ke rumah keluarga masing-masing, bukan sahaja untuk mengeratkan silaturahim malah menjaga ibu bapa yang uzur.

Bagi Asmawee Wee Abdullah, 62, yang memeluk Islam sejak 20 tahun lalu, sambutan di rumah ibu bapanya dekat Kampung Kebakat di sini tetap menjadi keutamaan setiap tahun meskipun berbeza agama dengan sebahagian adik-beradiknya.

"Hubungan dengan keluarga tidak pernah terputus, malah saya kerap pulang menziarahi ibu bapa kerana faktor kesihatan mereka yang semakin uzur.

"Walaupun saya sudah memeluk Islam, hubungan dengan adik-beradik masih sangat rapat. Agama (kami) berbeza, tetapi darah tetap sama," katanya ketika ditemui Bernama di kediaman keluarganya hari ini.

Bapanya, Wee Po Ting, 86 dan ibu, Gan Mek Tee, 85, kini uzur akibat faktor usia dan memerlukan perhatian ahli keluarga, katanya yang bekerja di sebuah syarikat kopi di Kelantan.

Asmawee berkata semasa meraikan Tahun Baharu Cina tradisi keluarga tetap diteruskan termasuk pemberian angpau kepada ibu bapa dan kanak-kanak serta menyediakan juadah seperti kuih bakul.

"Sambutan di Kelantan agak unik apabila hidangan tradisi Cina digabungkan dengan makanan tempatan seperti nasi kerabu, nasi dagang dan budu yang menjadi kegemaran keluarga," katanya.

Sementara itu, isterinya, Roslieza Rosli, 38, pula menyifatkan sambutan kali ini sebagai pengalaman pertama yang amat bermakna buat dirinya.

Beliau berkata keluarga mentua menerima kehadirannya dengan baik dan menunjukkan nilai kasih sayang kekeluargaan yang kuat dalam masyarakat Cina.

"Ini kali pertama saya sambut Tahun Baharu Cina di rumah mentua. Penerimaan keluarga sangat baik dan saya dapat lihat sendiri keharmonian walaupun berbeza agama," katanya.

Adik Asmawee, Wee Hock Tiong, 61, berkata walaupun perbezaan agama ia bukan penghalang untuk keluarga mereka berkumpul setiap kali musim perayaan.

"Amalan saling menziarahi ketika Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri sudah menjadi tradisi keluarga, mencerminkan semangat hormat-menghormati yang kukuh dalam kalangan masyarakat Cina di Kelantan,” katanya.

Wee berkata, bagi memastikan tetamu Muslim dapat menikmati hidangan tanpa rasa ragu, beliau mengambil inisiatif dengan menempah makanan daripada pengusaha melayu.

Sementara itu, Timbalan Presiden Persatuan Cina Muslim Malaysia, Dr Johari Yap berkata Tahun Baharu Cina merupakan perayaan budaya dan tidak menjadi kesalahan bagi saudara baharu untuk meraikannya bersama keluarga, selagi tidak melibatkan unsur keagamaan yang bertentangan dengan Islam.

-- BERNAMA



 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan