AM > BERITA

Tahun Baharu Cina Simbol Permulaan Kehidupan Baharu, Kebersamaan Keluarga

18/02/2026 09:47 AM

SHAH ALAM, 18 Feb (Bernama) -- Bagi masyarakat Cina, Tahun Baharu Cina bukan sekadar kemeriahan perayaan semata-mata tetapi juga simbol permulaan kehidupan baharu dan kebersamaan di samping keluarga tercinta. 

Penyanyi dan pelakon Joshua Gui menyifatkan perayaan itu sebagai ruang untuk mengeratkan semula hubungan persaudaraan.

Joshua berkata setiap kali perayaan tiba, dia dan saudara-mara lain akan berkumpul dan memasak hidangan stimbot bersama-sama. 

“Tahun Baharu Cina juga menandakan permulaan musim bunga, simbol kepada pembaharuan, dan permulaan baharu, tetapi bagi saya secara peribadi, makna paling besar bukanlah pada simboliknya, sebaliknya peluang duduk semeja, berbual panjang dan meluangkan masa berkualiti bersama keluarga,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, penyelia analisis Leong Hymm, 25, berkata pada tahun ini terasa lebih istimewa kerana kali pertama berbelanja setelah bekerja untuk persediaan perayaan bersama keluarga. 

Pemuda yang berasal dari Klang itu berkata Tahun Baharu Cina bukan sekadar diraikan tetapi juga waktu penting berkumpul bersama keluarga. 

“Saya hanya bertemu kebanyakan saudara-mara setahun sekali sebab mereka juga sudah bekerja jadi perayaan inilah yang memberikan peluang untuk kami berjumpa, berkongsi cerita dan meluangkan masa bersama,” katanya. 

Bagi pekerja swasta Tan Mei Sha, 36, pula walaupun sambutan tahun ini agak mencabar kerana terdapat kenaikan kos, tetapi dia tetap bersemangat menyediakan hidangan istimewa untuk santapan ahli keluarga. 

“Tahun Baharu Cina perlu menjadi titik pembaharuan dalam hidup, dan membina kemakmuran bersama masyarakat. 

“Ia bukan sekadar sambutan tahun baharu, tetapi simbol pembaharuan, kemakmuran dan perpaduan keluarga kerana ia juga masa untuk kita saling memaafkan, menghargai orang tersayang, serta menyebarkan kegembiraan,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2026 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan