JOHOR BAHRU, 18 Feb (Bernama) -- Orang ramai dinasihatkan supaya tidak panik sebaliknya segera menjalani saringan jika mempunyai simptom atau sejarah kontak rapat bagi membendung penularan penyakit tuberkulosis (tibi) yang boleh membawa maut jika lewat dirawat.
Pengasas Bersama Jauhar Medical Clinic (JMC) Dr Amirul Syafiq Hishamudin berkata tibi ialah penyakit berjangkit berbahaya disebabkan bakteria Mycobacterium tuberculosis yang lazimnya menyerang paru-paru (pulmonari tibi), namun boleh merebak ke organ lain seperti tulang, usus dan kelenjar limfa.
“Ia merebak melalui udara dan jika seseorang menghidap tibi, kontak rapat melalui bersin, batuk atau berbual berisiko untuk menjangkiti orang lain,” katanya kepada Bernama.
Beliau berkata golongan berisiko tinggi termasuk mereka yang menghidap penyakit kronik seperti kencing manis, buah pinggang, paru-paru dan angin ahmar, individu berimuniti rendah seperti pesakit HIV atau sedang menjalani kemoterapi serta kanak-kanak berusia lima tahun ke bawah.
“Tibi terbahagi kepada latent (pendam) dan aktif. Latent tidak berjangkit serta tiada simptom manakala aktif berjangkit dan bersimptom, namun saringan masih perlu dibuat jika seseorang ada kontak rapat walaupun berbeza risiko dengan orang normal,” katanya.
Dr Amirul berkata antara tanda penyakit tibi ialah batuk berpanjangan melebihi dua minggu, batuk berdarah, demam berpanjangan, berpeluh pada waktu malam, hilang selera makan serta penurunan berat badan secara drastik.
“Jika terdedah kepada penyakit ini, pihak kerajaan akan buat pengesanan kontak dan saringan dilakukan kepada kontak rapat dan jika positif tidak perlu risau kerana tibi boleh disembuhkan dengan ubat antitibi yang perlu diambil secara konsisten sekurang-kurangnya enam bulan,” katanya.
Beliau berkata ubat perlu diambil secara konsisten pada setiap hari kerana kegagalan rawatan boleh menyebabkan multi-drug resistance tibi yang menyukarkan lagi rawatan selain berisiko menyebabkan komplikasi serta kematian.
“Jangan panik kerana penyakit ini boleh dirawat jika ambil langkah awal, lakukan pemeriksaan kesihatan berkala termasuk ujian darah dan x-ray dada serta dapatkan konsultasi segera jika ada simptom tibi dan kontak rapat terutama batuk melebihi dua minggu,” katanya.
Beliau turut menasihatkan orang ramai supaya mengelakkan hubungan rapat dengan pesakit tibi hingga tamat tempoh infeksi yang lazimnya dua minggu selepas memulakan rawatan antitibi atau mengikut nasihat doktor sepanjang tempoh rawatan.
Berkongsi pengalaman sebagai petugas barisan hadapan ketika pandemik COVID-19, Dr Amirul berkata beliau sendiri pernah dijangkiti tibi selepas sistem imun menjadi lemah dan mengalami penurunan berat badan 10 kilogram dalam tempoh sebulan.
“Saya dan anak terpaksa mengambil ubat antitibi setiap hari melalui kaedah DOTS (Directly Observed Treatment, Short-course) selama enam bulan dan Alhamdulillah kini kami sihat, jadi jangan tangguh sebarang simptom kerana tanpa sedar ia boleh meragut nyawa anda dan keluarga,” katanya.
Kementerian Kesihatan merekodkan 503 kes baharu tuberkulosis (tibi) dikesan di seluruh negara hingga Minggu Epidemiologi kelima 2026 (ME 5/2026), menjadikan jumlah keseluruhan kes sebanyak 2,571.
Sabah merekodkan kes tertinggi dengan 614 kes, diikuti Selangor (476), Sarawak (257), Johor (233) serta Kuala Lumpur dan Putrajaya dengan 202 kes.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial